KUALA LUMPUR: “Pak Lah seorang pemimpin yang mesra, tidak menolak permintaan rakyat dan sentiasa mendengar keluhan masyarakat.”
Demikian luahan seorang penjawat awam, Nazuara Hassan, 55, yang terkesan dengan berita pemergian Perdana Menteri Kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, semalam.
Menurut Nazuara, walaupun tempoh pentadbiran Allahyarham tidak begitu panjang, namun banyak dasar dan keputusan penting yang dilaksana memberi kesan besar kepada kesejahteraan rakyat.
“Zaman beliau, rakyat tidak terbeban sangat. Beliau benar-benar prihatin dan dekat di hati rakyat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Jasmine Lim, 44, menyifatkan pemergian Pak Lah bukan sekadar kehilangan seorang pemimpin negara, malah insan yang pernah mengubah masa depannya.
“Pada 2007, saya antara penerima biasiswa kerajaan untuk pengajian doctor falsafah (PhD) di bawah Universiti Malaya dan ketika itu, elaun pelajar tidak melebihi RM2,500 sebulan, namun Allahyarham menaikkannya hampir dua kali ganda.
“Saya masih ingat, beliau mahu lebih ramai rakyat Malaysia memiliki kelayakan PhD dan polisi beliau sangat memberi kesan kepada generasi kami,” ujarnya.
Bagi Noor Azian Ismail, 46, langkah Allahyarham menaikkan gaji asas penjawat awam sebanyak 15 peratus memberi kelegaan besar ketika ramai sedang berdepan kos sara hidup yang meningkat.
“Pak Lah banyak berjasa kepada penjawat awam, terutama dalam memperjuangkan semakan gaji yang sekian lama tertangguh,” katanya.
Jenazah Allahyarham selamat tiba di Masjid Negara dari Carcosa Seri Negara dalam suasana penuh hiba. Ramai hadir menzahirkan penghormatan terakhir.
Tun Abdullah meninggal dunia malam semalam di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur akibat masalah pernafasan pada usia 86 tahun.
Allahyarham berkhidmat sebagai Perdana Menteri dari 2003 hingga 2009, menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad. – UTUSAN