Pemimpin kena elak diri terlibat rasuah

Pemimpin kena elak diri terlibat rasuah

Foto hiasan.

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 88)

Advertisement

Amru bin Muhajir berkata: Umar bin Abdul Aziz r.a. teringin makan epal. Seorang lelaki dari ahli keluarganya menghadiahkannya sebiji epal.

Umar berkata: Alangkah sedap bau dan elok rupanya! Angkat buah ini wahai pemuda, pulangkan kepada yang membawanya. Sampaikan salam saya kepadanya. Katakan kepadanya: ‘Hadiahmu sampai kepada kami menurut apa yang kamu suka.

Aku berkata: Wahai Amir al-Mukminin! Anak kepada bapa saudaramu, lelaki dari keluargamu. Kamu juga tahu Nabi SAW menerima hadiah.

Umar bin Abdul Aziz menjawab: Celaka kamu! Sesungguhnya hadiah itu untuk Nabi, memang sebagai hadiah. Sedangkan yang ini menjadi rasuah untuk kami. (Tarikh Khulafa, As-Suyuti ms 237)

Perbahasan mengenai rasuah sangat panjang. Tulisan ini tidak bertujuan mengupas secara mendalam mengenainya. Ia boleh dirujuk kepada sumber-sumber lain yang sangat banyak.

Saya hanya ingin menyebut beberapa perkara:

1. Dalam urusan pemberian dan penerimaan sesuatu harta, barangan, ia kembali kepada pelbagai istilah- jualbeli, hutang, upah, sewa, gadai dan lain-lain. Dalam skop yang agak kecil, ia boleh jadi zakat, sedekah, hibah, hadiah atau rasuah.

2. Dalam konteks perbincangan di sini, ia beredar antara hadiah atau rasuah kepada pemerintah, pemimpin, hakim dan pekerja.

3. Seringkali tertukar antara hadiah dan rasuah. Definisinya jelas. Hukumnya juga jelas tetapi kekadang elemen-elemen yang berkaitan agak kabur dan tidak difahami secara mendalam.

4. Kekadang, menurut syarak, sesuatu itu tidak dianggap rasuah, tetapi menurut akta tertentu, ia adalah rasuah.

5. Menurut syarak, kekadang penerimanya dianggap salah, sedangkan pemberinya tidak.

6. Umar bin Abdul Aziz adalah seorang yang sangat warak. Sebatang lilin yang digunakan untuk hal peribadi pun diambilkira. Apatah lagi jika melibatkan jumlah harta dan wang yang besar.

7. Untuk menuruti lifestyle Umar bin Abdul Aziz dalam pentadbiran dan pemerintahan, mungkin sangat sukar dan jauh. Namun, yang penting, sensitiviti terhadap sesuatu pemberian dan penerimaan harta, wang, projek dan lain-lain itu mesti ada.

Jika ia jelas sebagai rasuah, jauhilah. Jika ada kesamaran, elakkanlah. Jika mahu selamat dunia akhirat, bersifat warak dan berhati-hati itu sangat penting, terutama sebagai orang penting di pelbagai sektor dalam masyarakat. – HARAKAHDAILY 10/1/2024