Pemimpin Hamas tinggalkan Doha

Pemimpin Hamas tinggalkan Doha
Pemimpin Hamas tinggalkan Doha

Terdapat spekulasi yang menyebut Hayya kini berada di Tukiye kerana beliau sering berkunjung ke negara itu sejak lebih dua bulan lalu. Foto Agensi

DOHA – Pemimpin kanan Hamas, Khalil al-Hayya dan beberapa tokoh utama lain sudah tidak lagi berada di Doha.

Kementerian Luar Qatar memaklumkan ibu pejabat Hamas tidak lagi beroperasi setelah Doha menggantung peranan mereka sebagai perantara untuk rundingan gencatan senjata di Gaza.

“Ia bukanlah penutupan secara kekal,” kata jurucakap kementerian itu.

Difahamkan, Qatar telah menjadi ‘tuan rumah’ biro politik Hamas sejak 2012 dan memainkan peranan utama untuk menjadi orang tengah dalam rundingan damai antara gerakan itu dan Israel.

Pada awal bulan lalu, Doha menegaskan mereka hanya akan menyambung semula peranan sebagai broker rundingan damai jika kedua-dua belah pihak benar-benar serius mahu menghentikan perang ganas tersebut.

Qatar turut menafikan laporan yang mendakwa kononnya mereka mengarahkan pemimpin Hamas supaya meninggalkan negara itu.

Sementara itu, wakil Hamas memberitahu perunding Hamas mahu ‘mengehadkan’ kemunculan mereka di rantau itu termasuk merahsiakan lokasi terkini.

Terdapat spekulasi yang menyebut Hayya kini berada di Tukiye kerana beliau sering berkunjung ke negara itu sejak lebih dua bulan lalu.

Menerusi kenyataan di Telegram, Hamas turut menafikan laporan media Israel tentang ‘perpindahan’ kepimpinan Hamas dari Doha ke Ankara.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan melarang rakan sejawatannya dari Israel, Isaac Herzog menggunakan ruang udara negara itu untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Dunia bagi Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP29) di Azerbaijan.

“Kami mencadangkan laluan alternatif dan pilihan lain,” kata Erdogan di Sidang Kemuncak G20 di Brazil.

Herzog bagaimanapun membatalkan lawatan itu atas alasan keselamatan.

Hubungan bersama Tel Aviv terus tegang selepas kempen pengeboman ganas berlarutan di Gaza malah Ankara turut menjadi pengkritik lantang perang genosid itu.

Turkiye turut memanggil pulang duta mereka dari Israel selepas perang genosid itu tercetus meskipun tidak memutuskan hubungan dengan Tel Aviv secara rasmi. – Agensi

Scroll to Top