Damsyik: Pemimpin baharu Syria mengumumkan pada Selasa bahawa mereka sudah mencapai persetujuan dengan kumpulan pemberontak di negara itu mengenai pembubaran dan penyatuan kumpulan-kumpulan terbabit di bawah Kementerian Pertahanan.
Wakil daripada pasukan diketuai oleh Kurdish dan disokong oleh Amerika Syarikat (AS) yang menguasai sebahagian besar timur laut Syria tidak hadir dalam pertemuan terbabit.
Pertemuan antara kumpulan pemberontak dan pemimpin baharu Syria, Ahmed al-Sharaa, ‘berakhir dengan persetujuan mengenai pembubaran semua kumpulan dan penyatuan mereka di bawah pengawasan kementerian pertahanan’, menurut kenyataan disampaikan oleh agensi berita Sana dan akaun Telegram pihak berkuasa.
Pengumuman itu dibuat lebih dua minggu selepas Presiden Bashar al-Assad melarikan diri dari Syria, susulan serangan diketuai oleh kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS) pimpinan Ahmed.
Pada Ahad, Ahmed yang sebelum ini dikenali dengan nama samaran Abu Mohammed al-Julani berkata, pihak berkuasa baharu ‘tidak akan membenarkan adanya senjata di negara ini di luar kawalan kerajaan’.
Ini juga terpakai kepada Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang diketuai oleh pejuang Kurdish, tambahnya.
Minggu lalu, ketua tentera HTS memberitahu AFP bahawa kawasan yang dikuasai pejuang Kurdish akan disatukan di bawah kepimpinan baharu, dan ‘Syria tidak akan dibahagikan’.
Perang saudara selama 13 tahun di Syria menyebabkan lebih setengah juta orang terbunuh dan memecahbelahkan negara itu kepada zon-zon pengaruh yang dikawal oleh kumpulan bersenjata disokong oleh kuasa serantau dan antarabangsa.
Jurucakap SDF, Farhad Shami, memberitahu AFP bahawa persoalan mengenai penyatuan kumpulannya ke dalam angkatan bersenjata negara ‘harus dibincangkan secara langsung’.
Beliau tidak menolak kemungkinan itu dengan mengatakan bahawa tindakan sedemikian akan menguatkan ‘keseluruhan Syria’.
Farhad menambah bahawa pasukannya lebih memilih ‘dialog dengan Damsyik untuk menyelesaikan semua persoalan’.
Sementara itu, Menteri Luar baharu Syria, Assaad Hassan al-Shibani menerusi X pada malam Selasa, memberi amaran kepada Iran supaya tidak ‘menyebarkan kekacauan’ di Syria dan menggesa supaya menghormati kedaulatan negara berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd