Pemimpin Arab cadang alternatif untuk Gaza

Pemimpin Arab cadang alternatif untuk Gaza

Kaherah: Pemimpin Arab, semalam, sepakat menyokong rancangan membina semula Gaza di bawah Pihak Berkuasa Palestin (PA).

Mereka turut mengemukakan alternatif kepada cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang dikutuk secara meluas untuk mengambil alih wilayah itu dan memindahkan penduduknya.

Sidang kemuncak Liga Arab di Kaherah, pada Selasa itu, bertujuan menawarkan alternatif kepada visi itu, sehari selepas Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengulangi sokongannya terhadap cadangan Trump.

Dalam kenyataan terakhir, sidang kemuncak itu mengumumkan penggunaan rancangan Arab yang komprehensif menggesa masyarakat antarabangsa untuk turut menyatakan sokongan padu.

Mereka berkata, semua usaha ini berjalan selari dengan pelancaran landasan politik ke arah kenegaraan Palestin, yang ditentang pemimpin Israel.

Kenyataan itu juga mengalu-alukan keputusan Palestin untuk membentuk jawatankuasa pentadbiran Gaza di bawah payung kerajaan Palestin.

Mereka mengumumkan penubuhan dana amanah untuk pembinaan semula wilayah itu.

Kata mereka, Gaza akan menerima ikrar kewangan daripada semua negara penderma dan institusi pembiayaan untuk melaksanakan projek.

Sidang kemuncak itu juga menyeru perwakilan Palestin untuk bersatu di bawah Pertubuhan Pembebasan Palestin, sebuah kumpulan payung yang menjadi kuasa politik dominan dalam PA dan mengecualikan Hamas.

Dalam ucapan pembukaannya pada Selasa, Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi berkata, rancangan negaranya akan memastikan rakyat Palestin kekal di tanah mereka.

Katanya, namun semua pihak berhati-hati untuk tidak mengkritik Trump.

“Menyeru proses politik yang serius dan berkesan yang membawa kepada penyelesaian adil dan berkekalan kepada perjuangan Palestin.

“Saya yakin Presiden Trump mampu melakukan itu,” katanya.

PA mentadbir Gaza sebelum kehilangan kuasa kepada Hamas pada 2007.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top