Pemilik syarikat didakwa seleweng diesel bersubsidi

Pemilik syarikat didakwa seleweng diesel bersubsidi

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Pemilik syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan penyelewengan minyak diesel bersubsidi tanpa kebenaran sah, 2 Februari lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Tan Chak Kee, 56, mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki sebanyak 3,399 liter minyak diesel tanpa kebenaran sah ketika serbuan di Sungai Petai, Pasir Puteh, pada 2 Februari 2024.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB 1961) dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 bagi kes pertama dan Seksyen 8(4)(a) AKB 1961 bagi kes kedua.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd I’zzat Wan Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam dari Tetuan Azrul Hasyimi & Co.

Terdahulu, Wan Mohd I’zzat mencadangkan jaminan sebanyak RM18,000 bagi kes pertama dan RM14,000 bagi kes kedua, dengan syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh juga perlu melapor diri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) setiap dua bulan serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM32,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 April depan sebagai tarikh sebutan semula bagi serahan dokumen kes.

Tertuduh membayar wang jaminan yang ditetapkan sebelum dibebaskan sementara menunggu perbicaraan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top