Pemilik kediaman di NS diminta segera buat permohonan tukar status tanah

Pemilik kediaman di NS diminta segera buat permohonan tukar status tanah

SEREMBAN : Kerajaan Negeri Sembilan meminta pemilik kediaman di taman-taman perumahan yang layak di seluruh negeri ini supaya segera membuat permohonan pertukaran status tanah kediaman mereka daripada pajakan kepada hak milik kekal.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ini kerana masih terdapat ramai antara mereka yang hanya mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

Katanya, permohonan yang diterima untuk berbuat demikian ada bagaimapun jumlahnya masih rendah.

“Saya meminta masyarakat atau pemilik kediaman supaya tidak menunggu sebaliknya membuat permohonan segera di Pejabat Tanah dan Daerah masing-masing,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, di sini, hari ini.

Aminuddin berkata, walaupun setakat ini tiada tempoh akhir ditetapkan bagi mengemukakan permohonan tersebut, dikhuatiri program atau tawaran ini boleh dihentikan.

“Tawaran ini bukan untuk selama-lamanya, dan kini sudah memasuki penggal kedua dan mungkin penggal ketiga program akan ditamatkan. Mereka perlu mengambil kesempatan segera,”katanya.

Jelas beliau lagi, hanya pemilik kediaman asal sahaja yang layak untuk mengemukakan permohonan tersebut.

” Program ini memang baik tetapi jika tiada sambutan baik dalam kalangan pemilik kediaman, ia tidak akan memberi impak yang baik secara keseluruhannya,” katanya yang memberitahu Negeri Sembilan satu-satunya melaksanakan program sebegini.

Sebelum ini, kerajaan Negeri Sembilan sebelum ini membuka permohonan menukar status tanah daripada pajakan kepada hak milik kekal buat taman-taman perumahan yang layak di seluruh negeri ini. – UTUSAN

Scroll to Top