Barcelona: Juara dunia MotoGP, Jorge Martin dibenarkan keluar hospital selepas kemalangan ketika ujian pra-musim di Litar Antarabangsa Sepang yang mengakibatkan tulang tangan kanan dan kaki kirinya retak.
Dia dijangka belum bersedia untuk memulakan kempen MotoGP 2025 dan dinasihatkan untuk tidak menyertai sesi ujian di Buriram minggu depan.
Walaupun pembedahan berjalan lancar, Martin berdepan cabaran untuk pulih menjelang perlumbaan pembukaan di Thailand akhir bulan ini.
“Pelumba Jorge Martin selesai menjalani pembedahan dan proses pemulihan akan bermula segera,” kata pakar bedah di Barcelona, Xavier Mir.
Kejayaannya tahun lalu bersama Pramac Racing adalah tahun penting buat pelumba itu, yang kemudian dilamar Aprilia bagi musim 2025. Bagaimanapun kemalangan itu menjejaskan perancangan Aprilia dan Martin kini bergelut untuk pulih dan menyesuaikan diri dengan pasukan serta jentera baharu.
Aprilia mensasarkan untuk memperbaiki kedudukan mereka dalam MotoGP, termasuk menggunakan khidmat Martin musim ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Aprilia, Massimo Rivola menuntut penjelasan daripada Michelin berkenaan tayar yang digunakan – dipercayai menjadi punca kemalangan Martin.
Kemalangan itu mencetus ketegangan antara Aprilia dan Michelin, pembekal tayar tunggal untuk MotoGP. Peranan Michelin beberapa kali dipersoalkan sejak beberapa tahun lalu, apabila keseimbangan antara persembahan tayar dan keselamatan diragui.
Proses pemulihan pelumba MotoGP biasanya membabitkan aspek fizikal dan mental, dengan Martin dijangka akan terlepas sesi ujian di litar Buriram minggu depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd