Pembebasan Syria: Apa selepas ini?

Pembebasan Syria: Apa selepas ini?

PADA 8 Disember lalu, dunia dikejutkan dengan kejatuhan rejim Assad yang telah memerintah Syria lebih 50 tahun melalui pengumuman rasmi oleh Hay’at Tahrir Asy-Syam (HTS) yang menyatakan mereka telah berjaya menawan ibu kota Damsyik.

Perjuangan berdarah rakyat Syria menghadapi rejim yang bermula pada penghujung 2010 akhirnya membuahkan kegembiraan apabila Presiden Syria, Bashar Al-Assad dilaporkan melarikan diri setelah dilihat tidak mampu mengekang kemaraan HTS yang mula bergerak menawan bandar-bandar utama Syria.

Sepanjang konflik ini berlangsung, dilaporkan lebih 500,000 orang terkorban (angka tidak rasmi mungkin lebih) dan jutaan yang lain menjadi pelarian bagi menyelamatkan diri.

Berita gembira ini bukan sahaja diraikan warga Syria, namun turut diraikan oleh umat Islam, gerakan-gerakan Islam termasuk mereka yang terlibat dalam usaha membantu konflik di Syria.

Kami di Muslim Volunteer Malaysia (MVM) juga tidak terkecuali dalam menzahirkan kegembiraan atas pembebasan yang berlaku.

MVM sejak dari awal penubuhannya lagi telah terlibat dalam membantu pelarian Syria yang menjadi keganasan rejim dan menjadi pelarian terutama di dalam Syria sendiri, Turkiye, Jordan dan Lubnan.

Susulan pembebasan daripada rejim itu, kita disajikan dengan rakaman-rakaman video kegembiraan di mana jalan-jalan utama masuk ke Syria kini menjadi sesak disebabkan para pelarian kini kembali semula ke tanah air mereka yang tercinta.

Ada antara mereka melepaskan kerinduan dapat bertemu kembali ahli keluarga yang telah lama terpisah sekian lama disebabkan konflik yang berlaku.

Para tahanan rejim pula ada antara mereka telah meringkuk di dalam penjara dan diseksa puluhan tahun turut berjaya dibebaskan.

Pembongkaran kisah-kisah tragis, seksaan dan kezaliman yang mereka alami juga membuka mata dunia mengenai kezaliman rejim Al-Assad ini.

RAKYAT Syria bersorak kegembiraan selepas kejatuhan rejim Al-Assad baru-baru ini. Foto AFP

RAKYAT Syria bersorak kegembiraan selepas kejatuhan rejim Al-Assad baru-baru ini. Foto AFP

Bahkan kebanyakan tahanan ini dijatuhi hukuman penjara tanpa ada tuduhan yang berasas.

Sudut pandang geopolitik

Konflik Syria yang berlangsung selama lebih 13 tahun ini dilihat menjadi kancah peperangan terbuka dan ia juga menjadi medan perang proksi di mana ia melibatkan kuasa-kuasa besar dunia seperti Iran, Rusia, Turkiye dan Amerika Syarikat serta penglibatan kumpulan seperti ISIS/ISIL, al-Qaeda, Jabhat an Nusra, Free Syrian Army dan Kurdish-led Syrian Democratic Forces (SDF).

Bantuan sokongan yang diberikan Rusia, Iran dan Hizbullah dilihat selama ini sebagai faktor yang membantu rejim Bashar terus berkuasa.

Namun situasi geopolitik yang dihadapi oleh penaung-penaung Bashar dengan peperangan mereka di medan masing-masing seperti Iran dengan peperangan di Ukraine, Iran dan Hizbullah dengan peperangan di Lubnan dilihat sebagai peluang keemasan oleh HTS.

HTS melihat ini sebagai satu peluang keemasan untuk mara dan melakukan serangan bagi menawan kota-kota Syrian.

Israel dalam konflik Syria

Israel dan Syria mempunyai sejarah pertembungan yang panjang terutama sejak perang Arab-Israel pada tahun 1948 dan pada tahun 1967 pula berlaku perang enam hari yang akhirnya mengakibatkan bukit Golan Syria dijajah oleh Israel.

Kejatuhan rejim Bashar pada 8 Disember 2024 menyebabkan ketiadaan tentera kerajaan Syria di kawasan sempadan dan diambil kesempatan sepenuhnya oleh Israel untuk mara dan meletakkan kereta kebal mereka hampir 10 kilometer dari sempadan.

Lebih 500 serangan udara juga dilaporkan berlaku di Damsyik dan kawasan-kawasan strategik ketenteraan di seluruh Syria.

Pihak Israel memberikan alasan bahawa serangan ini dilakukan bagi mengelakkan aset dan persenjataan tentera Syria dari jatuh ke tangan kumpulan yang tidak sepatutnya.

Kejatuhan rejim Bashar juga menyebabkan bantuan persenjataan dari Iran dan Rusia tidak dapat sampai ke tangan Hizbullah di Lubnan yang selama ini melalui Syria.

Ia sedikit sebanyak memberi kelebihan di pihak Israel yang sedang berperang menghadapi Hizbullah di Lubnan.

Walaupun dalam isu Palestin, Hizbullah dilihat menjadi hero. Penulis ingin mengingatkan juga tentang ‘dosa-dosa’ Hizbullah di Syria yang terlibat dalam membunuh ribuan umat Islam terutama yang berfahaman Sunni di Syria.

Kisah-kisah ini mempunyai fakta dan dan penulis sendiri mendengar kisah-kisah ini daripada pelarian Syria di Lubnan selain melihat sendiri dari dalam Syria bagaimana kesan-kesan kezaliman mereka yang pernah berlaku.

PENULIS bergambar di hadapan salah satu bangunan yang musnah akibat di bom di Aleppo, Syria.

PENULIS bergambar di hadapan salah satu bangunan yang musnah akibat di bom di Aleppo, Syria.

Atas sebab itu, faktor geopolitik adalah salah satu faktor kompleks dan tidak boleh dijadikan satu-satunya medium bagi memahami konflik di Syria.

HTS perlu bersifat inklusif

Umum mengetahu bahawa HTS merupakan gabungan daripada beberapa kumpulan mujahidin yang mempunyai ideologi tersendiri.

Mereka bersatu di bawah HTS atas tujuan yang sama bagi menjatuhkan rejim Bashar.

Namun apakah selepas kejatuhan Bashar itu mereka akan terus bersatu?

Sejarah membuktikan jika perkara ini tidak ditangani dengan sebaiknya, ia akan membawa kepada perang saudara lagi.

Sebagai contoh di Afghanistan, ketika kumpulan mujahidin berperang melawan Soviet Union dan rejim Najibullah pada ketika itu mereka bersatu, akan tetapi selepas keluarnya Soviet dan jatuhnya rejim Najibullah, terdapat vakum kekuasaan menyebabkan akhirnya kumpulan mujahidin ini berperang antara satu sama lain.

Perkara sama juga berlaku di Iraq selepas kejatuhan Saddam Hussein.

Justeru pihak HTS perlu mengambil pelajaran daripada apa yang telah berlaku sebelum ini dari negara-negara yang pernah berhadapan dengan situasi yang sama.

Setakat artikel ini ditulis, kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan pemimpin HTS juga mahukan Syria yang baharu ini bersifat lebih inklusif demi memelihara kestabilan dan keamanan yang mereka telah capai.

Kita doakan semoga kerajaan baharu Syria yang memerintah ini dapat memelihara kejayaan yang mereka perolehi ini dengan mengambil langkah-langkah bijak serta tidak membenarkan tanah air mereka ini dijajah walau seinci pun oleh kuasa-kuasa luar.

***MUHAMMAD HASBULLAH MD NAJIB merupakan Ketua Pegawai Operasi Muslim Volunteer Malaysia (MVM)

Scroll to Top