Pembayaran tanpa tunai perlu sokongan infrastruktur telekomunikasi – Utusan Digital

Pembayaran tanpa tunai perlu sokongan infrastruktur telekomunikasi – Utusan Digital

PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengambil beberapa tindakan segera bagi menggalakkan pembayaran tanpa tunai demi keselamatan pengguna sekali gus mempromosi sistem pemabayaran tersebut pada masa akan datang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob menegaskan sekiranya pembayaran tanpa tunai ini mahu terus dipromosi, antara tindakan yang paling penting adalah penyedia telekomunikasi perlu menambah pemancar telekomunikasi ke kawasan-kawasan di luar bandar supaya mudah dicapai dan pastikan tidak ada komuniti yang akan dipinggirkan.

“Malah apa yang lebih penting adalah mendedahkan golongan dewasa termasuk warga emas dengan gajet dan aplikasi terkini dan memberi latihan atau penerangan di balai raya serta pusat komuniti dari masa ke semasa,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Tambah Abu Sofian, dengan cara ini, barulah penggunaan pembayaran tanpa tunai dan lain-lain urusan atas talian dapat terus meningkat.

“Ini juga sesuai dengan harapan kerajaan supaya ekonomi digital menyumbang 22.6 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) di bawah Pelan Pembangunan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital),” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, rakyat, usahawan mahupun firma kini mengalami apa survival mode dan dipaksa untuk bergerak dengan lebih pantas dan agresif untuk menguasai teknologi digitalisasi khasnya dalam perniagaan, urusan pembayaran dan pembelian.

“Tiada alasan mahu pun sebab untuk tidak mempelajari atau memahirkan diri di dalam mempelopori dan mengguna pakai medium pembayaran tanpa tunai ini. 

“Namun, banyak usaha yang harus dilakukan, bukan sahaja oleh rakyat dan peniaga dan kerajaan agar tidak ada golongan yang tertinggal dalam arus perdana pembangunan hanya kerana tiada kemahiran atau tidak celik teknologi maklumat (IT),” katanya.

Malah apabila pergerakan fizikal terbatas maka urus niaga bersemuka tidak dapat dilakukan dan ini akan menjadi norma baharu yang akan terus diguna pakai, baik ketika pandemik mahupun keadaan pulih seperti sediakala.

“Jika mahu pelaksanaan secara jangka masa panjang, silibus di sekolah harus diperbaiki, dan disulami dengan maklumat dan kemahiran ini,” katanya.

Terdahulu akhbar melaporkan seramai 3.9 juta warga digital Malaysia diyakini mampu mempelopori kaedah pembayaran tanpa tunai, sekali gus mendorong para peniaga lain untuk menggunakan kaedah pembayaran berkenaan.

Malah, Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (ITU) meletakkan Malaysia sebagai negara yang mempunyai warga digital tertinggi di dunia, justeru peranan mereka sangat penting dalam menjayakan usaha pendigitalan di negara ini. -UTUSAN ONLINE 

Scroll to Top