am@hmetro.com.my
Klang: Keputusan Kabinet membatalkan projek rintis Waktu Bekerja Berlainan (WBB) bagi memberi laluan kepada kajian lebih mendalam dan menyeluruh bukan keputusan ‘flip-flop’, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Menurutnya, WBB adalah usaha untuk mengurangkan bebanan pekerja penjagaan kesihatan awam negara dengan pengenalan sistem syif baharu.
Katanya, 10 pakar dilantik menganggotai pasukan petugas bagi projek WBB yang mana mereka mengambil masa hampir setahun untuk mencerakinkan satu penjadualan baharu.
“Masalah yang tercetus adalah apabila berlaku bocor (pekeliling WBB) yang mana ia masih di peringkat ‘proof of concept’ di lima hospital.
“Selepas ia (edaran) didapati oleh doktor di hospital lain, mereka bertanya kenapa tidak dilibaturus sama. Itulah punca WBB menjadi masalah kerana mereka menuntut hak untuk dilibaturuskan.
“Justeru, saya mengambil pendekatan mengangkat perkara ini ke Kabinet dan selepas dijelaskan, Kabinet berpandangan agar ia dibatalkan serta meneruskan kajian untuk mendapat pandangan daripada semua pihak,” katanya pada sesi penggulungan di Konvensyen Nasional Parti Amanah di sini, hari ini.
Sehubungan itu tegasnya, pembatalan WBB bukan satu keputusan ‘flip-flop’, apatah lagi ia masih dalam projek rintis.
“Ia bukan ‘flip flop’ seperti mana disebutkan tetapi satu penegasan supaya kita melaksanakan libat urus secara meluas,” katanya.
Semalam, Jemaah Menteri memutuskan untuk membatalkan projek rintis WBB bagi memberi laluan kepada kajian lebih mendalam dan menyeluruh.
Sebelum ini, media melaporkan Hartal Doktor Kontrak (HDK) menggesa KKM supaya menarik balik pekeliling cadangan pelaksanaan WBB, iaitu sistem syif baharu untuk pekerja penjagaan kesihatan awam negara.
HDK dipetik berkata, pekeliling WBB harus ditarik balik serta-merta bagi mengelak kemerosotan moral dan kebajikan petugas kesihatan.
Selain itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) turut menyuarakan kebimbangan mengenai pelaksanaan WBB yang didakwa akan memburukkan lagi kekurangan tenaga kerja sedia ada.
Ā© New Straits Times Press (M) Bhd