hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seorang pembantu pengurusan murid disiasat polis selepas dipercayai mengasari seorang murid autistik berusia tujuh tahun di sebuah sekolah rendah di Kelana Jaya, Selangor.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, siasatan dijalankan selepas rakaman kejadian itu tular di aplikasi TikTok yang memaparkan kejadian berkenaan pada 3 petang, hari ini.
“Susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 berhubung kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, ibu kepada kanak-kanak berkenaan juga sudah hadir memberi keterangan kepada polis hari ini.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu dimohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd