Pembabitan lebih ramai pemain industri, pekebun kecil tingkat pengeluaran koko negara – Johari

Pembabitan lebih ramai pemain industri, pekebun kecil tingkat pengeluaran koko negara – Johari

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Menteri Peladangan dan Komoditi (KPK), Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan kepentingan pembabitan dan jalinan kerjasama antara pemain industri dengan pekebun kecil dalam sektor koko negara ini.

Katanya, ia penting berikutan trend permintaan antarabangsa pada masa kini yang mengutamakan aspek sosial dan kemampanan sepanjang rantaian bekalan.

“Operasi pertanian yang mampan harus menitikberatkan amalan pertanian yang baik serta amalan buruh yang bertanggungjawab.

“Perkara ini sudah pasti akan meningkatkan kos pengeluaran yang kini pada RM8,492 per hektar bagi setiap tahun. Oleh itu, kerjasama dengan pihak industri adalah penting untuk memastikan skala tanaman yang lebih bersifat komersial dan berdaya saing.

“Ini seperti kolaborasi antara Lembaga Koko Malaysia (LKM) dan Nestle yang telah meningkatkan pendapatan petani dan pengeluaran koko secara mampan yang memanfaatkan semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Apresiasi Kecemerlangan Lembaga Koko Malaysia 2025 bertempat di Hotel The Pacific Sutera, di sini, malam ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Peladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin, Pengerusi LKM, Datuk Matbali Musah dan Ketua Pengarah LKM, Datuk Ramle Kasin.

Dalam pada itu, Johari turut menzahirkan tahniah kepada LKM atas usaha pihak terbabit berjaya menarik beberapa syarikat dan agensi perladangan yang bersedia untuk mengusahakan tanaman koko berskala besar dengan jumlah anggaran keluasan 714 hektar.

Menurutnya, antara syarikat yang terbabit ialah Malaysian Kuwaiti Investment Corporation (50 hektar di Tambunan, Sabah), Permaju Industries Berhad (124.7 hektar di Mantin, Negeri Sembilan), United Malacca Berhad (300 hektar di Tongod, Sabah) dan Sabah Land Development Board (240 hektar di Tenom, Sabah).

Disamping itu, beliau turut menyokong usaha LKM untuk menganjurkan Malaysia International Cocoa Festival (MICF 2025) yang dijadualkan berlangsung pada 24 sehingga 27 Mei ini bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

“Acara ini sudah pasti akan memberi manfaat kepada pemain industri tempatan untuk berinteraksi dan mengadakan kerjasama strategik dengan pihak industri antarabangsa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top