BANGKOK: Pemangku Perdana Menteri Thailand, Prawit Wongsuwan menafikan beliau tertidur ketika menghadiri mesyuarat mengenai pengurusan air di Krabi.
Gambar beliau ‘tertidur’ itu juga menjadi tular dalam media sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai.
Insiden itu bukan yang pertama berlaku menyaksikan Prawit tertidur ketika menjalankan tugas dan sikapnya ‘semakin difahami’ masyarakat.
Turut didedahkan beberapa imej pemimpin itu tertidur ketika menghadiri sejumlah majlis di seluruh negara.
Dalam pada itu, beberapa menteri yang turut menghadiri mesyuarat tersebut menyangkal dakwaan beberapa pihak yang menuduh pemangku perdana menteri itu tertidur.
“Prawit mendengar semua laporan dengan teliti dan kemungkinan ketika gambar itu diambil, beliau dilihat memejamkan mata seketika,” katanya.
Sementara itu, Prawit menegaskan, beliau tidak tidur dalam mesyuarat tersebut, sebaliknya mendengar dengan tekun setiap laporan yang dipersembahkan.
Katanya, pejamkan mata seketika tidak bermakna tertidur, tapi hanya sebagai ‘satu daripada tindakan normal’.