Pemandu van sekolah dakwa pening hingga tak sedar lawan arus

Pemandu van sekolah dakwa pening hingga tak sedar lawan arus

am@hmetro.com.my

Butterworth: Warga emas ditahan polis selepas didapati memandu van sekolah secara melawan arus di Lingkaran Luar Butterworth (BORR), di sini, tengah hari tadi sehingga perbuatannya tular di media sosial.

Dalam kejadian jam jam 1 tengah hari itu, lelaki berusia 70 tahun berkenaan dikatakan memandu dari arah Jalan Bagan Lalang menuju ke Jalan Raja Uda.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman, berkata bagaimanapun ketika tiba di persimpangan Jalan Bagan Lalang memasuki BORR pemandu mendakwa berasa pening.

“Dia kemudian tanpa sedar meneruskan perjalanan secara melawan arus di BORR sehinggalah ditahan polis di Kilometer (KM) berhampiran Kampung Teluk, Sungai Dua.

“Tiada sebarang kemalangan atau kecederaan akibat perbuatan pemandu van ini.

“Pemandu van kemudian ditangkap dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Trafik untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi satu minit 13 saat yang memaparkan sebuah van sekolah memandu secara lawan arus di BORR.

Bagaimanapun, tindakan pemandu berkenaan berjaya dihalang selepas kereta peronda polis yang melalui kawasan itu bertindak mengawal lalu lintas sebelum menahan pemandu terbabit.

Difahamkan, semasa kejadian, tiada penumpang serta pelajar sekolah dalam van berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top