Pemandu terbabas dalam parit ditemui selepas 10 jam pencarian

Pemandu terbabas dalam parit ditemui selepas 10 jam pencarian

am@hmetro.com.my

Tanjong Karang: Tukang rumah yang maut selepas kereta dipandu terbabas dalam parit di Batu 7, Simpang Tiram Buruk, di sini, ditemui selepas 10 jam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Mayat lelaki tempatan berusia 37 tahun itu ditemui kira-kira 100 meter dari lokasi kemalangan, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, terdahulu insiden berlaku pada 5.40 pagi ketika mangsa memandu kereta dari Jalan Raja Musa ke Kuala Selangor.

“Tiba di lokasi, mangsa disyaki hilang kawalan dan terbabas dalam parit sebelah kanan jalan.

“Usaha pencarian dilakukan dan mayatnya ditemui pada 3.45 petang tadi,” katanya ketika dihubungi.

Azaharudin berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian pada 5.56 pagi.

Katanya, pasukan 13 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang dengan bantuan Pasukan Penyelam Di Air (PPDA) BBP Shah Alam dan Pelabuhan Klang ke lokasi untuk SAR.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top