SHAH ALAM: Para pemandu teksi khususnya di bandar raya ini berharap peralihan Selangor ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) memberi sinar selepas kekurangan lebih 90 peratus pendapatan berbanding sebelum ini.
Sejak pelaksanaan pelbagai siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pendapatan para pemandu teksi di seluruh negara didakwa terjejas teruk terutama ketika penguatkuasaan PKP 3.0 pada Jun lalu.
Hal itu didedahkan seorang pemandu teksi, Faridah Salleh, yang mendakwa terpaksa pasrah menerima walaupun cuma RM10 sehari diperoleh.
“Kadang-kadang tak berbaloi menunggu penumpang, hendak dapat sehari seorang penumpang memang cukup payah sehingga rasa lebih baik buat kerja lain.
“Bayangkan kalau cuma RM10 sehari, macam mana hendak terus cari penumpang. Kereta kena isi minyak, sewa pun kena bayar, selenggara lagi dan sara hidup,” katanya.
Dia yang sudah memandu teksi lebih 20 tahun ditemui dalam majlis ringkas penyerahan sumbangan kotak makanan anjuran Persatuan Kebajikan Solidariti Persatuan (PKSP) di pekarangan Stesen Komuter Shah Alam.
Setiausaha PKSP, Prof. Madya Dr. Sara Cinnasamy berkata, sumbangan berkenaan diharapkan dapat meringankan beban pemandu teksi sementara mereka kembali bangkit dalam Fasa 2 PPN.
“Sebanyak 70 kotak makanan diserahkan kepada para pemandu teksi di Shah Alam bernilai RM100 yang terdiri daripada barangan kering seperti beras, biskut, tepung gula dan sebagainya.
“Ini adalah aktiviti sumbangan ke sembilan dilakukan PKSP dan sebelum ini kami turut membantu pemandu bas sekolah dan ibu tunggal yang terkesan akibat pandemik,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa (PPTKS) Bandaraya Shah Alam, Razali Sahran yang turut hadir memaklumkan pelaksanaan PKP amat merugikan pemandu teksi.
“Walaupun semua pihak menyedari industri teksi memang terjejas dan pemandu amat terkesan dengan PKP akibat kekurangan pendapatan, tetapi sewa dan permit tetap kena bayar.
“Selain itu, selenggara kereta dan pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (puspakom) tetap perlu dilakukan. Ada yang terpaksa buat kerja lain semata-mata hendak tanggung kos itu sedangkan rata-rata pemandu teksi berusia 50 tahun ke atas,” luahnya. – UTUSAN