am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Pemandu yang rentung selepas keretanya mengalami kebakaran sempat memberhentikan kenderaannya rapat ke besi penghadang jalan namun keadaan itu menyebabkan dia tidak dapat keluar.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan membabitkan sebuah kereta terbakar itu berlaku di KM5.5, Lebuhraya Utara – Selatan (arah utara) di sini pada jam 5 pagi.
Menurutnya kereta jenis Honda City S 1.5L I-vtec yang dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 22 tahun sedang bergerak di lorong kanan menuju ke Skudai.
“Setibanya di lokasi kejadian, kereta itu tiba-tiba terbakar. Mangsa sempat memberhentikan kenderaannya rapat ke besi penghadang, namun keadaan itu menghalangnya daripada keluar menyebabkan dia terperangkap dan rentung di dalam kereta,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Menurut beliau, pihak bomba turut berada di lokasi kejadian dan berusaha memadamkan kebakaran, namun gagal mengeluarkan mangsa dari kereta itu.
Katanya, kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Pada masa sama, Balveer Singh menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat
berkaitan kes ini supaya menghubungi dan menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat, Inspektor Ong Jin Siong di talian 011-16490168.
© New Straits Times Press (M) Bhd