Seorang pemandu lori berusia 50-an cedera parah di muka selepas diterkam seekor harimau kumbang dalam kejadian di Bukit Tangga, Negeri Sembilan semalam.
Menurut laporan Kosmo, mangsa yang sedang dalam perjalanan telah berhenti di tepi jalan untuk membuang air kecil sebelum diserang haiwan liar itu secara tiba-tiba.
Kejadian tersebut dipercayai berlaku sekitar pukul 3.30 petang, dan rakaman dashcam daripada sebuah kenderaan yang berada di lokasi telah tular di media sosial.
Video tular papar saat cemas serangan
Video berdurasi 16 saat yang dimuat naik di media sosial menunjukkan sebuah lori berhenti di tepi jalan sebelum seekor haiwan hitam meluru menyerang lelaki itu.
Namun, haiwan dipercayai harimau kumbang itu kemudiannya melarikan diri ke seberang jalan setelah menyedari kehadiran kenderaan lain.
Sejurus selepas serangan, kelihatan pemandu lori tersebut rebah di tepi jalan, dengan beberapa gambar yang dikongsi di media sosial menunjukkan mangsa mengalami kecederaan di muka dan berlumuran darah.
Jabatan Perhilitan keluarkan amaran

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri, mengesahkan pihaknya telah menerima laporan mengenai kejadian tersebut.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya untuk tidak berhenti di tepi jalan sesuka hati, terutama di kawasan yang berpotensi menjadi habitat haiwan liar
Saya nasihatkan buat masa sekarang kenderaan tidak berhenti di tepi jalan bagi elak kejadian tidak diingini.
#ApaKataOhmedia
Jika anda memandu melalui kawasan berhutan atau terpencil, elakkan berhenti di tepi jalan tanpa sebab yang mendesak. Haiwan liar boleh muncul secara tiba-tiba, dan insiden seperti ini membuktikan betapa pentingnya untuk sentiasa berwaspada dengan persekitaran.
