Pemandu kereta mewah pandu melulu sudah ditahan

Pemandu kereta mewah pandu melulu sudah ditahan

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Pemandu kereta mewah yang memandu melulu dan berbahaya di Jalan Sri Bengkal-Parit Yaani di sini, ditahan kurang 24 jam selepas polis menguar-uarkan sedang mengesannya, hari ini.

Lelaki warga emas berusia 65 tahun itu ditahan di Taman Cemerlang di sini pada 4.10 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, suspek ditahan bersabit video tular yang dilapor berlaku pada 8.19 pagi semalam.

“Siasatan awal, kejadian berlaku ketika dia dalam perjalanan dari Parit Yaani menghala ke Sri Medan.

“Ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu bebas dadah, selain tiada rekod kesalahan lampau,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntuk hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda hingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu sekurang-kurangnya dua tahun, jika disabitkan.

Terdahulu, polis mengeluarkan kenyataan mengesan pemandu kereta Mercedes Benz selepas video memandu secara melulu tular di media sosial.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top