Pemandu kereta langgar veteran komando, anak disahkan OKU mental

Pemandu kereta langgar veteran komando, anak disahkan OKU mental

am@hmetro.com.my

Padang Besar: Pemandu kereta Honda Civic yang disyaki memandu dengan laju sehingga merempuh motosikal dinaiki veteran komando tentera dan anaknya di Jalan Tok Kayaman, Beseri, di sini, Jumaat lalu disahkan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) kategori ketidakupayaan mental.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padang Besar Superintendan Sarih Salleh berkata, lelaki berusia 33 tahun itu, bagaimanapun, masih menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) kerana kecederaan serius akibat kemalangan itu.

“Pemandu kereta itu memang mempunyai kad OKU mental, namun kami akan menyiasat lebih lanjut dengan pihak hospital mengenai status kesihatannya pada waktu ini.

“Lelaki itu juga masih menerima rawatan di hospital. Sekiranya ada kewajaran, kita akan membuat tangkapan selepas dia sembuh,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, pihaknya akan merujuk HTF semula untuk memastikan sama ada lelaki berkenaan berada dalam keadaan waras atau tidak ketika memandu.

Jumaat lalu, seorang veteran komando tentera maut manakala anaknya parah selepas motosikal yang mereka naiki dirempuh oleh sebuah kereta di Jalan Tok Kayaman, Beseri, Padang Besar.

Dalam kejadian jam 7.45 malam, mangsa, Rahimi Mat Rejab, 49, sedang menunggang motosikal jenis Honda Wave sambil dibonceng anaknya, Umar Haziq, 16, dan dipercayai dalam perjalanan menuju ke sebuah masjid di kawasan Padang Lati, Beseri, untuk berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top