Pemandu, kelindan cedera lori tangki terbabas rempuh rumah

Pemandu, kelindan cedera lori tangki terbabas rempuh rumah

Kuantan: Seorang pemandu dan kelindan cedera ringan apabila lori tangki yang mereka naiki terbabas sebelum merempuh dua rumah dan dua kereta di Taman Kenanga, Raub hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.41 tengah hari sebelum enam anggota dari balai Raub bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, didapati sebuah lori tangki air terbabas, lalu merempuh dua rumah dan dua kereta yang mengakibatkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan ringan.

“Mangsa dikeluarkan oleh orang awam, dan tiada penghuni rumah yang dilaporkan cedera,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Raub Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman berkata lori berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Atok ke pejabat Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) di Raub, ketika kejadian.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pemandu lori terbabit membrek secara mengejut selepas kenderaan di hadapannya memperlahankan kelajuan, menyebabkan lori hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan.

Kedua-dua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Raub untuk menerima rawatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top