Pemandu Honda Accord kuning bakal hadapi enam pertuduhan termasuk cubaan bunuh

Pemandu Honda Accord kuning bakal hadapi enam pertuduhan termasuk cubaan bunuh

am@hmetro.com.my

Kluang: Pemandu Honda Accord berwarna kuning yang tular selepas dikejar polis mempunyai 15 rekod kesalahan lampau termasuk mabuk, menagih serta mengedar dadah.

Ia juga dipercayai punca lelaki berusia 40-an itu bertindak melarikan diri dengan memandu kereta secara melulu sejauh kira-kira lima kilometer sebelum diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, suspek bakal berdepan enam pertuduhan dan reman akan dipohon esok di Mahkamah Batu Pahat.

“Polis mengesahkan kejadian tular iaitu aksi mengejar suspek sejauh kira-kira lima kilometer kira-kira 9 pagi hari ini.

“Polis mengejar suspek bermula dari persimpangan Jalan Haji Manan sehingga tangkapan berjaya dibuat di hadapan lampu isyarat Kluang Mall.

“Suspek gagal memberikan kerjasama ketika hendak diperiksa oleh pegawai polis cawangan peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas dadah dipercayai heroin.

“Hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 bagi kesalahan memiliki dan mengedar dadah.

Selain itu, kes juga disiasat mengikut Seksyen 44(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu semasa berada di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah.

“Kes juga disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan di jalan raya secara melulu yang boleh membahayakan nyawa pengguna lain.

“Suspek juga akan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan bagi kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya.

Katanya, siasatan mengikut Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 bagi kesalahan memasukkan dadah dalam badan dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan bagi kesalahan cubaan membunuh juga dibuka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top