SEREMBAN: Seorang pemandu ambulans didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagi pertuduhan melakukan persetubuhan terhadap anak perempuan tirinya berusia 14 tahun, tiga tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 45 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan dengan anak tirinya yang berusia 14 tahun ketika kejadian yang mana perhubungannya dengan mangsa tidak dibenarkan di bawah undang-undang yang terpakai untuk dia berkahwin dengannya.
Kesalahan itu dilakukan pada 14 April 2022 dan 31 Julai 2022 antara pukul 2 pagi hingga 3 pagi di sebuah rumah di sebuah kuarters kerajaan di Port Dickson.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi tidak menawarkan jaminan memandangkan tertuduh adalah bapa tiri kepada mangsa.
Nurul Balkis berkata, pihak pendakwaan memohon jaminan tinggi dikenakan terhadap tertuduh beserta dengan syarat-syarat tambahan sekiranya mahkamah mahu memberikan jaminan terhadapny
Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudian memohon jaminan rendah dengan alasan dia bekerja sebagai pemandu ambulans di sebuah hospital kerajaan selain perlu menanggung isteri serta dua anak yang masih kecil.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM9,000 dengan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan lain sehingga kes selesai.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan semula dokumen dan lantikan peguam pada 24 Mac depan.