'Pemanas badan' terbaik buat Aaron-Wooi Yik

'Pemanas badan' terbaik buat Aaron-Wooi Yik

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Walaupun kelihatan agak bergelut, beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengakui pertemuan dengan gandingan Great Britain, Ben Lane-Sean Vendy, hari ini menjadi pemanas badan terbaik buat mereka berdepan lawan yang lebih sukar di Sukan Olimpik Paris.

Terdahulu, bekas juara dunia itu terpaksa bermandi peluh sebelum melakar kemenangan 19-21, 21-16, 21-11 dalam aksi pertama Kumpulan A di Porte de La Chapelle Arena.

Menurut Wooi Yik, kemampuan mereka kembali bangkit untuk mencatat kemenangan dalam perlawanan itu memberi petanda positif dan meningkatkan tahap keyakinan menghadapi perlawanan seterusnya.

“Kami akui agak bergelut di set pertama dan cuba bangkit untuk mendapatkan semula momentum dalam permainan,” katanya.

Ujar Wooi Yik, selepas tidak memenangi set pertama, mereka saling mengingati antara satu sama lain supaya terus berjuang dan tidak memberikan mata mudah kepada lawan dan ia memberikan kami hasil yang positif di set kedua.

“Ini adalah kemenangan yang positif untuk kami dan kami percaya ia akan meningkatkan lagi tahap keyakinan kami,” kata Wooi Yik kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan.

Pasangan nombor lima dunia itu akan berdepan gandingan Kanada, Nyl Yakura-Adam Dong untuk aksi kedua kumpulan, esok.

Olimpik Paris adalah penampilan kedua Aaron-Wooi Yik di temasya terbesar dunia itu selepas edisi Tokyo 2020, tiga tahun lalu.

Di Tokyo, Aaron-Wooi Yik mencipta kejutan apabila berjaya menyumbang pingat gangsa kepada kontinjen Malaysia.

Kali ini, mereka diletakkan sebagai sandaran bagi menghadiahkan emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik.

© New Straits Times Press (M) Bhd