Pemain warisan baharu akan diumum minggu depan – Cklamovski

Pemain warisan baharu akan diumum minggu depan – Cklamovski
Pemain warisan baharu akan diumum minggu depan – Cklamovski

Cklamovski ketika sidang akhbar pengumuman skuad Harimau Malaya sempena Kelayakan Piala Asia 2027 di Wisma FAM pada Khamis. – Foto Bernama

SKUAD negara akan menerima tiga pemain warisan baharu yang akan diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) minggu depan.

Pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski berkata, proses tersebut berada di peringkat akhir sebelum segalanya akan dimuktamadkan dan diumumkan secara rasmi.

“Saya tidak berada dalam proses pemain warisan itu tetapi difahamkan kertas kerja di fasa akhir di peringkat kerajaan dan pasukan kebangsaan akan membuat pengumuman pada minggu depan.

“Untuk kem kali ini maksimum dalam tiga pemain akan sertai pasukan. Kemudian pada Jun dan seterusnya. Ini merupakan perancangan jangka panjang dan ia proses penting untuk kami,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pengumuman 27 pemain Harimau Malaya untuk kem latihan pusat menghadapi perlawanan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Khamis.

Sebelum ini, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mendedahkan tujuh hingga lapan pemain warisan berada dalam radar skuad negara yang berjaya dikesan dan boleh beraksi untuk Harimau Malaya.

Pengumuman beberapa pemain warisan baharu itu merupakan sebahagian daripada proses revolusi Harimau Malaya yang sedang dilakukan ketika ini.

Dalam pada itu, Cklamovski menyedari impian menggunung peminat bola sepak negara terhadap revolusi pasukan kebangsaan dan yakin ia akan berjalan dengan baik peringkat demi peringkat.

“Saya tahu Malaysia mempunyai impian besar dan aspirasi dan langkah demi langkah projek ini akan mencapai tahap yang terbaik.

“Tetapi, ia bukan mudah dan akan menjadi proses yang panjang tetapi kita juga ada perancangan jangka pendek termasuk untuk layak ke Piala Asia 2027,” katanya.

Scroll to Top