Pemain 'turun darjat', gaji lebih kecil

Pemain 'turun darjat', gaji lebih kecil

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penutupan beberapa kelab besar dalam saingan liga utama negara bakal menyaksikan lambakan pemain berhijrah ke kancah liga bawahan musim depan.

Perkara itu dinyatakan ejen tempatan, Effendi Jagan Abdullah yang mengakui saingan Liga A1 Semi-Pro bakal menjadi lubuk baharu buat tonggak tempatan meneruskan karier sebagai pemain bola sepak.

Jelas Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd itu, tangga gaji pemain juga bakal menyusut sehingga 50 ke 60 peratus (%) berbanding gaji lumayan yang diraih ketika beraksi di Liga Super sebelum ini.

“Secara peribadi, saya lihat saingan A1 atau liga kedua bakal jadi tumpuan pemain selepas ini jika empat pasukan dari Liga Super menarik diri atau tidak menerima Lesen Kebangsaan.

“Pemain tempatan ini sudah tidak mempunyai tempat dalam Liga Super kerana kekurangan pasukan, jadi liga bawahan adalah tempat untuk mereka terus bermain bola sepak.

“Gaji pemain secara tak langsung akan berkurang. Contohnya, jika sebelum ini di Liga Super mereka menerima RM20,000, mungkin di liga bawahan mereka hanya menerima RM10,000 atau lebih kurang daripada itu.

“Kalau sebelum ini terima RM10,000, mungkin selepas ini akan dapat RM5,00 atau RM4,000 sahaja. Mereka terpaksa terima kerana itu saja kemampuan kelab-kelab di Liga A1 yang majoritinya kelab berstatus semi-pro,” katanya kepada Arena Metro.

Ujarnya, satu elemen positif bakal berlaku di saingan A1 musim depan di mana persaingan liga bawahan itu dijangka lebih kompetitif ekoran kehadiran ramai pemain terbaik dari liga atasan beraksi di bawah.

Bagaimanapun, Effendi berharap isu tunggakan gaji tidak menjadi lebih teruk di Liga A1 musim depan.

“Kalau ikutkan musim lepas banyak kes babitkan kelab A1 yang tidak dibayar gaji, jadi saya harap untuk musim depan perkara itu tidak jadi lebih teruk,” katanya kepada Arena Metro.

Menerusi laporan akhbar ini semalam, saingan Liga Malaysia perlu diselamatkan segera daripada ‘gelombang kemusnahan’ selepas Perak FC dan Sri Pahang FC difahamkan mahu menarik diri.

Malah, isu tunggakan gaji babitkan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dilihat berpotensi tidak akan diberikan Lesen Kebangsaan, sekali gus tidak dibenarkan beraksi pada musim depan.

Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, masalah membabitkan empat kelab yang memiliki kumpulan penyokong paling terbesar seperti Kelantan, Kedah, Pahang dan Perak itu amat membimbangkan.

Baginya secara peribadi, dasar penswastaan Liga M terbukti gagal apabila empat kelab yang sebenarnya membawa imej negeri masing-masing sudah tidak mampu bergerak secara profesional lagi.

Menurut Effendi lagi, dasar penswastaan di Malaysia sememangnya gagal dan ia perlu diakui semua pihak di mana bantuan dana dari Kerajaan Negeri menerusi Persatuan Bolasepak Negeri (FA) masih diperlukan.

“Saya fikir, kaedah Terenggan FC, Selangor FC dan Penang FC yang masih dibantu Kerajaan Negeri melalui FA dapat menyelamatkan mereka.

“Apa yang berlaku kepada Kedah dan Perak yang dimiliki sepenuhnya pihak swasta, tidak sesuai digunakan dalam budaya bola sepak di Malaysia. Ekosistem bola sepak di negara ini masih tidak matang dan belum sedia.

“Saya percaya jika pemilikan kelab bola tidak dilepaskan sepenuhnya kepada swasta dengan masih FA memiliki saham kelab, pasukan terbabit boleh diselamatkan.

“Kita perlu ubah balik sistem kita dengan penglibatan pihak kerajaan diperlukan, jika tidak bola sepak kita akan ‘mati’ dalam tempoh lima tahun lagi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top