syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pemain dram kumpulan oi!, A.C.A.B iaitu Zul kini berada dalam keadaan stabil dan dirawat di Wad Pemulihan Koronari (CRW) Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas rebah dan tidak sedarkan diri ketika konsert kumpulan itu, malam tadi.
Wakil A.C.A.B, Sue ketika dihubungi berkata, Zul yang mengalami serangan jantung diberikan bantuan kecemasan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sebelum dikejarkan ke HKL.
“Zul sekarang berada di CRW HKL. Keadaannya dah okay. Semalam, dia dah sedar semasa berada di unit kecemasan,” katanya kepada Harian Metro.
Dalam kejadian semalam, Zul yang sedang bermain dram tiba-tiba rebah selepas kira-kira 30 minit A.C.A.B memulakan persembahan sempena Konsert A.C.A.B 30th Anniversary di Zepp Kuala Lumpur.
“Ketika membuat persembahan semalam, dia rebah sewaktu lagu keenam. Apabila diperiksa nadinya tiada, pihak paramedik mula memberikan bantuan CPR.
“Mujurlah selepas itu, nadinya ada semula dan kemudian, terus dibawa ke HKL,” katanya.
Akibat kejadian itu, persembahan dihentikan selama kira-kira 20 minit dan disambung semula menggunakan khidmat pemain dram lain iaitu Irfan.
“Selepas Zul dibawa ke hospital, persembahan disambung dengan pemain dram lain, Irfan. Kami ada tiga pemain drama iaitu Zul, Irfan dan Black.
“Ini kerana ada pertukaran anggota mengikut album dan setiap pemain dram membuat persembahan mengikut album yang membabitkan mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd