hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Sungai Buloh: Cuaca yang tidak menentu tidak menghalang operasi pemadaman kebakaran di tapak pelupusan sampah haram di Jalan Bukit Lagong, giat dijalankan yang sudah masuk hari ke-10, hari ini.
Kebakaran membabitkan bahan sisa domestik dan binaan itu meliputi kawasan seluas 464 meter persegi dan usaha pemadaman itu masih diteruskan sejak kejadian berlaku pada 2 Januari lalu.
Tinjauan Harian Metro di lokasi mendapati keadaan terkawal dengan pasukan penyelamat dan beberapa agensi tetap melakukan kerja operasi biarpun cuaca redup bertukar hujan renyai-renyai.
Penyelia pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh, Mohd Zamri Yup berkata, keadaan cuaca yang tidak menentu antara cabaran yang dilalui pihaknya apabila daripada panas akan bertukar hujan selain kawasan lokasi juga bercuram yang memerlukan jentera membuat teres untuk operasi pemadaman.
Menurutnya, selain itu mereka berdepan dengan asap dan juga melakukan pemadaman secara berubah-berubah kawasan serta sumber air sungai juga agak jauh iaitu kira-kira lebih 540 meter dari lokasi.
“Biasanya cuaca panas pada waktu tengah hari dan hujan pula tidak menentu, kadang-kadang pada waktu petang dan kalau hujan renyai kita teruskan operasi tetapi kalau hujan lebat operasi itu terpaksa dihentikan sementara.
“Operasi pemadaman dilakukan secara berubah-ubah. Pernah apabila operasi selesai di sektor A, pasukan akan ke sektor B tetapi kami terpaksa kembali ke sektor A kerana ada asap,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Katanya, walaupun berdepan cabaran dan kepenatan di lokasi namun pihaknya bersama agensi lain tetap komited meneruskan operasi dengan memastikan keselamatan sentiasa diutamakan.
Sementara itu, Ketua BBP Sungai Buloh, Azmel Kamarudin berkata, operasi yang memasuki hari ke-10 hari ini diketui Ketua Operasi, Rosdi Hainan masih giat dijalankan dengan bantuan beberapa agensi.
Katanya, ia membabitkan Angkatan Pertahanan Awam (APM), Skuad Pantas Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, Jabatan Alam Sekitar serta Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor selain polis yang turut memantau lokasi.
“Dua unit ekskavator daripada pihak MPS digunakan dengan kerja pemadaman menggunakan kaedah korek dan gaul bagi mencepatkan operasi pemadaman.
“Kawasan operasi dipecahkan kepada dua sektor iaitu A dan B. Setakat ini kebakaran di sektor A sudah dipadam hampir 100 peratus, manakala sektor B pula 92 peratus,” katanya turut memaklumkan pemilik tanah dan ketua Kampung Melayu, di sini, turut menjaga kebajikan pasukan sepanjang operasi.
Beliau berkata, pihaknya menjangkakan beberapa hari lagi untuk operasi pemadaman tamat sepenuhnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd