Peluang Selangor FC tamat kemarau piala

Peluang Selangor FC tamat kemarau piala
Peluang Selangor FC tamat kemarau piala

Katsuhito Kinoshi. Foto MFL

SELANGOR FC tidak mahu melepaskan peluang untuk menamatkan kemarau piala apabila membuat perhitungan dengan PDRM FC dalam perlawanan akhir kedua Piala Cabaran yang akan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Sabtu.

Pengendali Selangor FC, Katsuhito Kinoshi berkata, tiada harapan lain yang disandarkan kepada para pemainnya selain kemenangan terutama ketika mempunyai kelebihan satu jaringan selepas perlawanan akhir pertama Sabtu lalu.

“Kami ada perancangan untuk bermain menentang PDRM FC dan misi utama untuk menang. Kami fokus kepada permainan kami dan pemain juga faham apa yang saya mahukan.

“Sudah tentu transisi pantas (seperti dilakukan pada perlawanan akhir pertama) akan turut menjadi keutamaan. Jika saya boleh buat sudah tentu saya akan buat..

“Namun, bola sepak mempunyai pelbagai alternatif, jadi ia boleh berubah mengikut situasi. Tetapi transisi menyerang bertahan adalah asas kepada strategi dan taktikal,” katanya dalam sidang akhbar pra perlawanan pada Jumaat.

Selangor FC selangkah untuk meraih kejuaraan Piala Cabaran selepas berjaya menundukkan PDRM FC 3-2 dalam perlawanan akhir pertama minggu lalu.

Ia sekali gus menyaksikan peluang untuk Selangor menamatkan kemarau menjulang piala selepas kali terakhir pada 2015.

Pada ketika itu, skuad Gergasi Merah berjaya menjulang trofi Piala Malaysia dan ia kekal menjadi trofi terakhir buat pasukan itu sejak sembilan tahun lalu.

Dalam pada itu, Kinoshi turut menyasarkan pasukannya untuk menyudahkan perlawanan dalam tempoh 90 minit dan tidak rela aksi akhir tersebut ditentukan menerusi sepakan penalti.

“Saya tidak rasa begitu (perlawanan sehingga ke penalti). Kami akan buat latihan (penalti),tetapi saya tidak mahu ia sehingga ke penalti,” katanya.

Scroll to Top