Jeddah: Oscar Piastri bakal menjadi pelumba Australia pertama memimpin kejuaraan Formula Satu (F1) dalam tempoh 15 tahun sekiranya pemandu McLaren itu meraih kemenangan ketiganya musim ini di Arab Saudi, Ahad ini.
Pemandu berusia 24 tahun itu adalah salah seorang daripada empat pemandu yang berpeluang menamatkan hujung minggu ini di tangga teratas selepas muncul satu-satunya pemandu yang mencatat kemenangan berganda pada musim 2025.
Piastri kini memiliki momentum, keyakinan dan jentera yang cukup hebat untuk menewaskan rakan sepasukan, Lando Norris, ketika dia berusaha menambah kemenangan di litar jalanan Jeddah selepas menakluk Shanghai dan Bahrain.
Ketika ini, dia hanya ketinggalan tiga mata di belakang Norris, yang sudah mendahului sejak perlumbaan pembukaan di Melbourne.
Piastri memenangi perlumbaan di Bahrain minggu lalu dari petak pertama serta mencatatkan pusingan terpantas.
Tahun lalu di Jeddah, dia menamatkan perlumbaan di tempat keempat, mengatasi Norris yang hanya di tangga kelapan, dan kini hanya selangkah lagi untuk menyamai pencapaian pengurusnya, Mark Webber, yang pernah mendahului kejuaraan bersama Red Bull pada tahun 2010.
“Jeddah adalah litar yang saya sangat gemari dan saya ada kenangan manis di sana. Saya tekad untuk bermula dengan baik di Arab Saudi,” kata Piastri.
Norris, yang mengkritik prestasinya sendiri di Bahrain walaupun sudah meraih empat podium daripada empat perlumbaan, turut mahu bangkit dan mempamerkan aksi lebih mantap dalam edisi kelima perlumbaan di pesisir Laut Merah itu.
“Tahniah kepada Oscar dan seluruh pasukan McLaren. Saya akan cuba pertingkatkan prestasi hujung minggu depan,” katanya pada Ahad lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd