Kuala Lumpur: Malaysia memiliki peluang cerah untuk melepasi saingan peringkat kumpulan Piala Sudirman 2025, yang dijadualkan berlangsung dari 27 April hingga 4 Mei di Xiamen, China, sekiranya barisan pemain berada dalam prestasi terbaik serta bebas daripada kecederaan.
Menerusi undian yang dijalankan secara maya di saluran YouTube BWF TV hari ini, Malaysia, yang menghuni ranking kelima kejohanan diundi dalam Kumpulan C bersama Jepun, Perancis dan Australia.
Di atas kertas, Jepun dijangka menjadi cabaran utama buat skuad negara, manakala Malaysia perlu berhati-hati dengan kehadiran Perancis yang berpotensi menggugat peluang untuk berada dalam kelompok dua terbaik kumpulan.
Sebagai rekod, Malaysia masih belum pernah menjulang trofi Piala Sudirman sejak kejohanan diperkenalkan pada 1989 dengan pencapaian terbaik adalah mara ke separuh akhir sebanyak tiga kali, iaitu pada edisi 2009, 2021 dan 2023.
Sementara itu, juara bertahan China dijangka tidak berdepan masalah besar dalam Kumpulan A apabila diundi bersama Thailand, Hong Kong dan Algeria.
Kumpulan B menyaksikan persaingan antara Korea Selatan dan Taiwan bagi merebut dua kedudukan teratas dengan Kanada serta Republik Czech turut berada dalam kumpulan yang sama.
Kumpulan D pula boleh dianggap sebagai ‘kumpulan maut’ apabila mempertemukan Indonesia, Denmark, India dan England dalam saingan yang dijangka sengit.
China terus mendominasi kejohanan ini dengan 13 gelaran juara, diikuti Korea Selatan (3) dan Indonesia (1).
© New Straits Times Press (M) Bhd