Peluang buat karyawan seni

Peluang buat karyawan seni

mohamadridzuan@hmetro.com.my

PENERBIT drama, Erma Fatima gembira kini bergelar rakan strategik Usanita Sdn Bhd menerusi cabang perniagaan Usanita Entertainment milik Datuk Adzliana Hasan.

Erma menerusi Rumah Karya Citra dan Usanita Entertainment kini memperkenalkan UTV, sebuah platform penstriman (OTT) baharu yang bakal menemui penonton tempatan dan serantau bermula pada Mei ini.

“Alhamdulillah… syukur kepada Allah. Sebuah lagi penerbitan akan memeriahkan industri perfileman negara, industri seni dengan matlamat yang sama.

“Saya dengan Usanita bergabung untuk mencapai satu matlamat perjuangan untuk industri seni dan juga untuk orang seni. Itu yang khususnya.

“Mungkin tak perlu saya detailkan lagi apakah perjuangannya itu. Kena tunggu bulan Mei, tapi yang pasti dan nyatanya kita dah ada perancangan untuk tahun ini. Insya-Allah… kita akan lahirkan banyak telefilem dan juga mungkin filem,” katanya ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Usanita Sdn Bhd di ibu negara, baru-baru ini.

Erma yang kini menjadi sebutan menerusi penerbitan drama Bidaah dan Keluarga Itu, turut dilantik sebagai Channel Advisor UTV bagi memastikan kualiti setiap produksi menepati standard terbaik dan berdaya saing.

Ditanya genre-genre drama yang bakal diterbitkan, Erma memaklumkan, akan ada kelainan berbanding drama yang ada. “Kita tak buat drama-drama yang banyak sangat biasa keluar TV. Sebab itu kita memilih OTT ini. Platform ini supaya kita dapat melahirkan karya yang kita tidak terikat dengan permintaan.

“Kita tidak perlu terikat dengan kehendak netizen. Jadi kita buat atas apa yang kita rasa nak sampaikan.

“Saluran UTV akan ada drama sendiri, saya pun ada drama sendiri. Kita bergabung berdua dan drama itu tak akan main di stesen lain. Dia akan main di situ sahaja,” katanya.

Mengulas berkenaan pengarahan, Erma berkata, dia kini sudah berhenti mengarah dan fokus pada penerbitan sahaja.

“Saya sekarang buat drama-drama. Saya hanya buat skrip dan saya tentukan jalan cerita apa saya nak buat serta saya dapatkan pengarah-pengarah yang saya rasa sesuai untuk mengarah.

“Bukanlah saya berhenti mengarah sepenuhnya. Maksudnya kalau saya mengarah pun maknanya ada yang istimewa. Maknanya ada sesuatu yang nak lepas gian.

“Ataupun adalah sesuatu yang saya nak. Tapi buat masa ini belum lagi,” katanya.

Sementara itu, Adzliana berkata, UTV akan tampil dengan produk pertama menerusi dua drama iaitu Aku Cinta Dia dan Anak Mak yang menampilkan lakonan Fattah Amin dan Sophia Albarakbah.

“Penonton tidak perlu melanggan. Kalau mereka suka sesebuah drama, terus bayar dan tonton. UTV hadir dengan tagline Stream For You, menawarkan pengalaman hiburan yang bersifat peribadi, inklusif dan menyentuh emosi, selari dengan identiti masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa.

“UTV lahir daripada keinginan untuk menyediakan pentas digital yang beri peluang kepada lebih ramai penggiat seni dan pembikin kandungan Malaysia untuk berkembang serta mengetengahkan karya mereka kepada khalayak yang lebih luas,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top