Peluang besar Amir Masdi

Peluang besar Amir Masdi

mohamadridzuan@hmetro.com.my

PEMBABITAN sebagai penyanyi Search menerusi Konsert Gemuruh di Zepp Kuala Lumpur, pada 29 Jun lalu menjadi nilai tambah populariti Amir Masdi di mata peminat.

Bekas juara Akademi Fantasia 2016 ini semakin terbang tinggi mengukuhkan kedudukannya sebagai penyanyi popular apabila tampil dengan album kedua AM:PM.

Tahun lalu, Amir atau Amir Syazwan Masdi, 28, tampil dengan album pertamanya dan amat mengejutkan ia habis dijual dan diulang cetak tiga kali bagi memenuhi permintaan peminat.

“Album kali ini dibuat kelainan apabila dihasilkan dalam dua side iaitu AM dan PM. Album penuhnya ialah AM:PM tapi PM akan dikeluarkan pada tahun hadapan.

“Sekarang hanya side AM dahulu dikeluarkan yang mengandungi enam lagu. Untuk side PM juga sudah hampir siap sepenuhnya dalam masa terdekat. Insya-Allah awal tahun depan akan keluar.

“Strategi ini dipilih sebab saya rasa ini satu perkara yang menarik juga bagi kami dan pendengar apabila buat dua bahagian untuk satu album yang penuh.

“Kebetulan nama AM:PM jadi kami ada idea untuk asingkan. Bila buat begini peminat ada masa dan ruang untuk lebih fokus kepada lagu-lagu untuk dua bahagian ini,” katanya.

Melihatkan judulnya yang unik, semestinya album ini memuatkan pelbagai emosi dan pengalaman hidup Amir Masdi sejak melangkah masuk dalam industri hiburan tanah air.

Peminat akan dibawa menikmati perjalanan muzik yang dinamik dan penuh variasi melalui lagu-lagu yang dicipta khas bagi membawa mereka melalui pengalaman emosi yang berbeza.

“Mungkin benda ini pernah ada sebelum ini. Kami sama-sama berbincang. Orang akan memiliki album AM dan menikmati lagu-lagunya. Pada masa sama, mereka pasti tak sabar tunggu album PM.

“Kalau sebelum ini, kita ada drama bersiri. Sekarang kita ada album bersiri pula. Kita fikirkan sesuatu yang di luar kotak, yang mana orang akan rasa lain dari yang lain. Jadi kami hasilkan lagu bertajuk Luar Kotak.

“Serta tajuk album AM:PM agak menarik kerana AM mewakili nama saya juga Amir Masdi manakala PM adalah singkatan kepada Projek Manchester. Kebetulan jadilah Amir Masdi Projek Manchester.

“Selain itu, AM:PM juga mencerminkan situasi sewaktu Edry berada di Manchester dan kami di Malaysia di mana ketika buat mesyuarat, masa di kedua negara berbeza. Kalau di sini siang, di sana pula malam,” katanya.

Bukan hanya sekadar mempertaruhkan vokal, malah Amir juga diberi peluang memperlihatkan kemampuannya mencipta lagu dan bergelar penerbit bersama dengan komposer terkenal Edry Abdul Halim dalam album ini.

“Saya diberi peluang menulis lagu daripada ‘zero’ sehingga ia diterbitkan. Proses awal dibuat pada November tahun lalu dimana fasa satu membabitkan konsep, hala tuju dan apakah jenis lagu yang ingin ditulis.

“Februari lalu, saya dan pasukan menggunakan duit yang kami kumpul hasil daripada persembahan saya buat selama ini untuk bergerak ke fasa seterusnya.

“Kemudian, pada Mac kami terbang ke Manchester, United Kingdom untuk merealisasikan dan mengejar impian untuk terbitkan album kedua yang dirakam di Volta Lab Studios, Rochdale, Manchester,” katanya.

Selama 18 hari di sana, Amir dan Edry yang juga Pengarah Seni Muzik AF 2016 menulis kesemua 12 lagu selain merakamkan vokal dan video muzik.

“Justeru, perjalanan untuk menghasilkan album ini sangat istimewa buat saya selain memberikan inspirasi buat saya untuk terus berkarya dan memberikan yang terbaik.

Album ‘AM’ menampilkan lagu-lagu “Luar Kotak”, “Calar”, “Take Me Home”, “Langit Biru”, “Bakal Kekasih” dan “Nur Cinta”.

Terdahulu, promosi AM:PM sudah dimulakan lebih awal apabila poster album ini dipaparkan di papan iklan gergasi (billboard) di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) Kelana Jaya dan Bukit Bintang sebulan sebelum album dipasarkan.

“Bagi saya, ini sesuatu yang sangat eksklusif bukan saja buat album ini tapi secara peribadi sepanjang kerjaya seni saya.

“Selain itu, pelbagai cenderahati istimewa seperti baju-T, lanyard, cawan, tote bag dan hoodie turut dihasilkan untuk mengiringi pelancaran album AM:PM ini,” katanya.

Selain dalam bentuk fizikal, album ini boleh distrim di semua platform penstriman muzik.

Menariknya lagi, sebelum album dilancarkan lagi, lagu Nur Cinta dipilih sebagai lagu OST utama drama rantaian 36 Episod, Andai Tiada Dia terbitan Global Station di Astro Ria setiap Isnin hingga Khamis jam 10 malam mulai 21 Oktober ini.

AM:PM diterbitkan oleh AR United Music, syarikat rakaman milik Amir sendiri dan diedarkan oleh Nova Music.

Siaran perdana muzik video rasmi Nur Cinta single peneraju dari album AM boleh ditonton sepenuhnya di saluran YouTube ‘Nova Music Videos.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top