Peliharaan di rumah bertingkat

Peliharaan di rumah bertingkat

asmaini@mediaprima.com.my

MEMBELA haiwan peliharaan diakui banyak manfaat.

Selain menceriakan kehidupan dengan keletah yang comel, ia juga dapat menemani di kala kesunyian.

Bagaimanapun, tidak akan menjadi masalah sekiranya anda tinggal di rumah bertanah (landed property).

Namun, jika tinggal di hartanah berstrata seperti pangsapuri, sebaiknya fikir semasak-masaknya sebelum meneruskan hasrat membela haiwan.

Ini kerana menghuni rumah berstrata perlu mengikut banyak peraturan pengurusan terutama membabitkan aspek keselamatan, kebersihan dan penjagaan haiwan peliharaan.

Kebanyakan rumah berstrata terutama jenis bertingkat melarang pemeliharaan haiwan kerana dikhuatiri menimbulkan masalah kebersihan, kacau ganggu dan bunyi bising.

Peraturan untuk rumah strata lebih komprehensif, memandangkan setiap orang berkongsi kemudahan sama, seperti kolam renang dan parkir kereta.

Di bawah Akta Pengurusan Strata 2013, pihak berkuasa tempatan (PBT) berhak menggubal peraturan kecil berkaitan haiwan peliharaan di hartanah bertingkat.

Selain itu, tidak semua jenis baka dan jenis haiwan peliharaan dibenarkan.

Contohnya, jika anda tinggal di Kuala Lumpur, ada baka anjing yang tidak dibenarkan seperti Miniature Pinscher, Bichon Frise, Pekingese, Papillon, Poodle (Toy), Japanese Chin, Maltese, Pomeranian dan Chihuahua.

Dalam pada itu, membela haiwan kesayangan dalam hartanah bertingkat juga agak mencabar dari segi keselamatan.

Lebih-lebih lagi jika rumah yang diduduki berada di aras tinggi.

Haiwan kesayangan seperti kucing terutama lebih terdedah kepada bahaya untuk jatuh kerana sifatnya yang suka merayau-rayau dan selalu ingin tahu keadaan di persekitarannya.

Selain itu, naluri kucing juga suka mengejar objek bergerak termasuk serangga atau burung menyebabkan ia mudah terperangkap di belebas sehingga terjatuh dan membawa maut.

Justeru, bagi yang memelihara kucing di hartanah bertingkat, anda perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan si bulus kesayangan berada dalam keadaan terurus dan selamat ketika berada dalam rumah.

Antara langkah perlu diambil pemilik adalah memastikan tingkap dan pintu atau mana-mana kawasan di mana kucing boleh keluar di pagar dengan ‘mesh grill.’

Elakkan daripada membiarkan si bulus merayau-rayau ke luar rumah kerana ia boleh dijangkiti penyakit dari luar.

Biarpun comel, namun si bulus memerlukan persekitaran kehidupan yang kondusif, bukan terperap dalam sangkar atau ruang kecil kerana ia boleh menyebabkan ia kemurungan.

Sebagai haiwan alternatif, anda boleh membela haiwan lain seperti hamster atau ikan hiasan yang berwarna-warni.

Ia bukan sahaja mudah dijaga, malah tidak memerlukan sangkar atau akuarium terlalu besar.

Selain itu, kura-kura spesies ‘Red-eared slider’ juga mudah dijaga kerana hanya memerlukan akuarium bersaiz sederhana.

Ia adalah haiwan sesuai terutama bagi mereka yang tidak mampu memberikan terlalu banyak perhatian selain makanannya juga mudah disediakan iaitu hanya sayur dan daun.

Apa pun jenis spesies yang dibela, pastikan anda menjadi pemilik bertanggungjawab kepada haiwan berkenaan.

Jangan hanya tahu memelihara kerana kesihatan dan aspek kebajikan lain juga perlu diberi perhatian bagi memastikan ia hidup dengan ceria serta gembira.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top