Kuala Lumpur: Persaraan beberapa gimnas wanita berpengalaman termasuk Farah Ann Abdul Hadi dan Tracie Ang meninggalkan kekosongan ketara dalam arena gimnastik artistik negara.
Ketika ini hanya tinggal Rachel Yeoh selaku gimnas senior tunggal, sekali gus membuatkan ketua jurulatih gimnastik artistik wanita kebangsaan Ng Shu Wai tidak mempunyai pilihan selain terpaksa memikirkan semula strategi beliau.
Menyahut cabaran itu, Shu Wai merangka pelan jangka panjang untuk memastikan kesinambungan legasi gimnastik Malaysia dan ia akan dimulakan di Sukan Sea 2025 di Thailand.
Bekas Olimpian berusia 39 tahun itu berkata terdapat enam hingga tujuh gimnas junior akan diserap ke dalam pasukan senior untuk menggantikan peranan gimnas senior yang bersara.
Beliau berkata antara yang dikenal pasti berpotensi untuk beraksi dan mencipta kejayaan di Sukan Sea 2025 ialah Cadence Teh Zi Qi, Zarith Imaan Khalid dan Hannah Yasmeen Mazwan.
Shu Wai berkata fokus utamanya ketika ini ialah untuk membentuk pasukan wanita, tanpa mengira sama ada acara gimnastik artistik akan dipertandingkan pada temasya dwitahunan itu.
“Kami komited untuk membentuk pasukan gimnastik wanita baharu, tidak kira acara itu disenaraikan di Thailand atau tidak.
“Sangat penting bagi kami untuk memulakan sekarang kerana ia akan memberi pendedahan berharga kepada barisan gimnas sedia ada di Sukan Sea bermula edisi 2025,” katanya.
Jika segala-galanya berjalan lancar seperti dirancang, pemenang pingat perak di Sukan Asia 2006 dalam acara melombol itu berharap dapat melihat barisan gimnas berkenaan bersinar di Sukan Sea 2027 di Malaysia.
Pada Sukan Sea 2021 di Hanoi, Vietnam, Rachel membawa pulang dua pingat emas dalam acara batang titian dan palang tidak sejajar wanita.
Acara gimnastik artistik wanita tidak dipertandingkan pada Sukan Sea 2023 di Phnom Penh, Kemboja.
© New Straits Times Press (M) Bhd