Pelakon lebih menyerlah

Pelakon lebih menyerlah

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Trend terkini industri seni tanah air menyaksikan artis yang menceburi bidang lakonan lebih mudah menyerlah dan mencipta nama berbanding nyanyian.

Tanyalah mana-mana peminat, mereka semestinya lebih mengenali pelakon kerana drama-drama lebih mudah diakses menerusi platform TikTok dan media sosial yang semakin luas pengaruhnya.

Banyak judul-judul drama dan nama-nama pelakon lebih diingat penonton tanpa mengira golongan muda mahupun tua.

Manakala, program nyanyian yang agak terhad ternyata membataskan populariti penyanyi baharu untuk menyerlah dan dikenali ramai.

Sehubungan itu, artis yang dijangka menyerlah tahun ini adalah dalam kalangan pelakon. Sama ada suka atau tidak, harus diakui bidang lakonan lebih menjanjikan populariti kepada mereka yang terbabit.

Berikut artis-artis yang dijangka menyerlah tahun ini :

Azira Shafinaz

Kejayaan memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) ke-61 yang berlangsung di Genting Highlands membawa isyarat Azira bakal menyerlah pada 2025.

Terdahulu, Azira yang juga penyanyi dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Komedi Terbaik di Anugerah Kreatif Akademi Asia (AACA 2023) di Singapura, pada Disember 2023.

Elizabeth Tan

Lakonannya dalam filem Sheriff: Narko Integriti sememangnya berkesan sehingga menyaksikan dia diangkat sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-33.

Sheriff tampil dengan sisi berbeza Elizabeth apabila membawakan watak antagonis. Elizabeth melakonkan watak Jennifer Wong, pegawai di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang ditugaskan untuk menyiasat kes pembunuh bersiri dikenali sebagai Meth Killer.

Amir Ahnaf

Bergandingan dengan Anna Jobling menerusi drama Syurga Itu Bukan Mudah sehingga berjaya dinobat pemenang trofi kategori Ekstra Tonton Paling Popular iaitu Couple Drama Popular sempena Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36.

Amir kini tampil membawakan watak utama dalam filem Kahar: Kapla High Council yang mendapat sambutan hangat penonton.

Anna Jobling

Dinobat pemenang trofi kategori Ekstra Tonton Paling Popular iaitu Couple Drama Popular sempena Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36 menerusi drama Syurga Itu Bukan Mudah bergandingan dengan Amir Ahnaf.

Anna juga melebarkan sayap ke Indonesia dan setakat ini sudah membintangi filem Lembayung. Difahamkan ada lagi dua projek filem Indonesia menantinya untuk penggambaran.

Amir Masdi

Juara pertandingan realiti televisyen, Akademi Fantasia 2016 ini semakin mencipta nama di mata peminat. Malah Amir menjadi pilihan Search Kid Din sebagai penyanyi Konsert Gemuruh di Zepp Kuala Lumpur pada Julai tahun lalu yang mendapat pujian ramai.

Nama Amir semakin popular apabila lagunya Nurcinta dijadikan sebagai runut bunyi drama Andai Tiada Dia yang menjadi fenomena dikalangan penonton.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top