Ranya Rao, pelakon terkenal dari India, ditahan pihak berkuasa selepas didakwa cuba menyeludup emas dengan berat 14.8 kilogram bernilai 125 juta rupee (RM6.3 juta) yang disembunyikan dalam pakaian khas semasa penerbangannya dari Dubai ke India.
Menerusi laporan daripada Times Of India, Rao ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Kempegowda, Bengaluru pada 4 Mac lalu.
Kerap terbang ke Dubai punca kegiatan dikesan pihak berkuasa

Jurucakap polis India mendedahkan kegiatan itu berjaya dikesan, selepas menyedari Rao kerap berulang-alik ke Dubai dengan rekod perjalanan sebanyak 30 kali sepanjang tahun 2024.
Setiap kali perjalanan, dia dipercayai menyeludup beberapa kilogram emas ke India dan menerima bayaran antara 1.2 juta rupee (RM60,970) hingga 1.3 juta rupee (RM66,061).
Bukan sekadar jaket, Rao juga menggunakan tali pinggang khas yang direka untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa. Kami mengesyaki Rao mendapat bantuan daripada anggota polis tempatan. -Katanya
Pihak berkuasa kini sedang menyiasat sama ada Rao bertindak sendirian atau menjadi sebahagian daripada rangkaian sindiket penyeludupan emas yang lebih besar. Rao kini ditahan di Penjara Pusat Parappana Agrahara.
Kes ini sebenarnya telah mengejutkan ramai pihak kerana bukan sahaja melibatkan seorang selebriti terkenal, tetapi juga anak tiri kepada pegawai kanan polis.
