Pelajar trauma akibat desakan berhijab di Indonesia, kata badan hak asasi

Pelajar trauma akibat desakan berhijab di Indonesia, kata badan hak asasi
Satu peraturan pada 2014 ditafsir secara meluas sebagai semua pelajar perempuan Islam di Indonesia wajib memakai jilbab di sekolah. (Gambar AP)

JAKARTA: Ifa Hanifah Misbach berusia 19 tahun ketika ayahnya meninggal dunia – dan keluarganya memberitahu beliau tidak akan ke syurga kerana enggan berhijab.

Misbach kini ialah ahli psikologi di Bandung, Java Barat. Beliau menasihatkan berpuluh remaja perempuan Indonesia yang dipulau, dibuli dan diugut akan dibuang sekolah kerana enggan berhijab.

“Impak tekanan agama, khasnya untuk berjilbab, ketika anda muda, membuatkan anda merasakan tiada ruang untuk bernafas.

“Saya mahu melarikan diri,” kata Misbach dalam laporan Human Rights Watch (HRW).

Pengalaman wanita berusia 45 tahun itu ialah satu daripada banyak pengalaman dikongsi wanita serta gadis di negara yang mempunyai paling ramai umat Islam di dunia, termasuk kes pelajar perempuan dibuang sekolah.

Ideologi Indonesia merangkumi kepelbagaian agama dan negara itu mempunyai penganut Kristian, Buddha, Hindu dan minoriti lain yang signifikan, tetapi konservatisme agama dan sikap tidak bertoleransi terhadap agama lain, selain Islam, semakin meningkat sejak dua dekad lalu.

Wanita dan kanak-kanak perempuan di seluruh Indonesia menghadapi tekanan “kuat dan berterusan” untuk berhijab, kata penyelidik HRW Indonesia, Andreas Harsono, yang disifatkan badan hak asasi itu sebagai pelanggaran ke atas hak asasi untuk kebebasan beragama, bersuara dan privasi.

“Berhijab patut menjadi pilihan, bukannya peraturan wajib,” kata Harsono kepada Reuters.

“Terdapat kepercayaan semakin meningkat di Indonesia, jika anda wanita Islam dan tidak berhijab, anda kurang warak; anda kurang bermoral.”

HRW mengenal pasti lebih 60 undang-undang kecil wilayah dan tempatan yang bersifat diskriminasi dikeluarkan sejak 2001 untuk melaksanakan kod pakaian wanita.

Satu peraturan kebangsaan pada 2014 ditafsir secara meluas sebagai semua pelajar perempuan Islam di negara dengan 270 juta penduduk itu wajib memakai jilbab di sekolah.

“Sekolah negeri di Indonesia menggunakan gabungan tekanan psikologi, penghinaan di khalayak ramai dan sekatan untuk memujuk pelajar perempuan berhijab,” menurut laporan HRW.

Seorang pelajar sekolah menengah beragama Islam yang tidak mahu dinamakan, mengimbau kejadian ketika beliau berusia 12 tahun, apabila dua rakan sekelasnya memberitahu beliau patut berhijab kerana “sehelai rambut yang ditunjukkan sama seperti selangkah lebih dekat ke neraka”.

Kes seorang pelajar perempuan Kristian di Sumatera Barat yang dipaksa berhijab mencetuskan bantahan bulan lalu, menyebabkan Kementerian Pendidikan dan Hal Ehwal Agama mengeluarkan dekri melarang sekolah kerajaan mewajibkan pakaian agama.

Badan hak asasi utama di Indonesia, Komnas HAM, berkata dekri itu menyokong hak bebas beragama, tetapi masih tidak jelas jika ia akan dilaksanakan secara ketat.

HRW mendapati masalah itu tidak hanya berlaku di sekolah kerana ada kes penjawat awam dan pensyarah wanita yang meletak jawatan akibat tekanan berhijab, dengan ada pula yang tidak mendapat akses kepada perkhidmatan kerajaan kerana mereka tidak berhijab.

Kementerian Pendidikan dan Hal Ehwal Agama tidak segera memberi maklum balas untuk mengulas laporan itu.

Scroll to Top