Kuala Lumpur: Seramai 40 pelajar Queen’s University Belfast, baru-baru ini memeriahkan suasana di ibu negara Ireland Utara itu dengan persembahan teater yang menonjolkan kebudayaan Malaysia penuh warna-warni sempena Belfast M’Night 2025, yang berlangsung di Mandella Hall, universiti terbabit.
Malam kebudayaan dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Malaysia Ireland Utara (MSSNI) itu sekali gus menandakan kembalinya acara paling ditunggu-tunggu selepas empat tahun terhenti, yang menarik kehadiran pelbagai lapisan masyarakat termasuk diaspora Malaysia, penduduk tempatan dan pelajar antarabangsa.
Pengarah Belfast M’Night 2025 Ng Jun Ryu berkata, persembahan selama 90 minit itu mengisahkan seorang gadis Malaysia yang meninggalkan kampung halaman dan keluarganya demi mengejar impian mengikuti pengajian psikologi di Belfast.
“Dia berusaha menyesuaikan diri dengan perbezaan budaya dan meningkatkan pencapaian diri di negara asing, cerita ini kemudian berkembang dengan menyentuh tema sejagat seperti penghijrahan, pencarian diri dan rasa kekitaan, pada masa sama menyerlahkan warisan budaya Malaysia,” katanya kepada Bernama.
Pelajar tahun kedua dalam bidang Sains Bioperubatan berusia 22 itu berkata, pementasan terbabit menggabungkan unsur muzik, tarian dan penceritaan sekali gus menjadi jambatan penghubung antara budaya yang membolehkan penonton menyelami kekayaan tradisi Malaysia.
“Tetamu turut berpeluang menyertai aktiviti interaktif seperti menandatangani papan tanda yang menampilkan simbol ikonik Malaysia seperti wau bulan, keris, dan Menara Berkembar Petronas serta menikmati sajian tempatan seperti roti canai dan minuman Milo
“Ia bukan sekadar persembahan tetapi satu undangan untuk merasai pengalaman budaya Malaysia melalui cerita, muzik dan pergerakan. Kami berharap kejayaan ini akan mencetuskan lebih banyak kerjasama budaya antara Malaysia dan Ireland Utara,” kata Ng.
© New Straits Times Press (M) Bhd