Pelajar IPT diingatkan 'simpan dan labur'

Pelajar IPT diingatkan 'simpan dan labur'

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini diseru untuk memanfaatkan Program Celik Madani untuk meningkatkan tahap literasi kewangan dan tabiat menabung.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, melalui kepimpinan naib canselor dan timbalan naib canselor, IPT disaran untuk memberi kesedaran kepada pelajar mengenai kepentingan perancangan kewangan jangka panjang.

Katanya, generasi muda harus memiliki kesedaran kewangan yang tinggi dan mampu membuat keputusan kewangan bijak bukan sahaja dapat mengemudi kewangan diri sendiri dan keluarga, tetapi diharap dapat memacu kewangan negara pada masa depan.

“Pelajar mesti digalakkan untuk terus menabung walaupun serendah RM20 sebulan, ia akan membantu meningkatkan simpanan mereka dalam tempoh empat hingga lima tahun kepada jumlah yang sewajarnya, menjadikan mereka lebih yakin dan bersedia apabila mereka tamat pengajian.

“Menerusi program Celik Madani, mahasiswa baharu akan diberi sumbangan dana pelaburan awal RM50 yang dikunci selama lima tahun,” katanya di majlis Penyerahan Memorandum Perjanjian Program Celik Madani di sini, hari ini.

Beliau berkata, jika diandaikan pulangan dividen sepanjang tempoh itu adalah sebanyak 5.5 peratus setahun dan pelajar membuat simpanan tambahan RM20 sebulan selama empat tahun, diikuti dengan simpanan RM100 sebulan ketika mula bekerja selama enam tahun, mereka dijangka mampu mempunyai simpanan terkumpul melebihi RM10,000 dalam tempoh 10 tahun, jika tiada pengeluaran dibuat.

Program Celik Madani inisiatif yang diperkenalkan Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyasarkan pembabitan seramai sejuta pelajar IPT dalam masa lima tahun bermula September depan secara berfasa.

Amir Hamzah berkata, fasa pertama program ini membabitkan enam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang sudah memberi komitmen untuk melabur dana RM120 bilion bagi tujuan pelaburan langsung domestik dalam tempoh lima tahun akan datang, di samping pelaburan mereka di dalam pasaran modal awam bernilai RM440 bilion.

Katanya, enam GLIC itu ialah Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan, PNB, Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

Antara IPT awam yang mengambil bahagian dalam fasa pertama adalah Universiti Utara Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, dan Universiti Teknologi Mara, manakala empat universiti berkaitan kerajaan (GLU) yang terpilih untuk program ini adalah Universiti Teknologi Petronas, Universiti Tenaga Nasional, Universiti Kuala Lumpur dan Universiti Multimedia.

Fasa kedua program Celik Madani yang membabitkan institusi pengajian swasta dan vokasional terpilih juga akan dilaksanakan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top