
Seorang pelajar universiti diselamatkan selepas jatuh sakit di Gunung Fuji menjadikannya insiden kedua yang melibatkan individu sama diselamatkan dalam seminggu di puncak tertinggi Jepun itu – Foto Kyodo
SHIZUOKA (Jepun) – Seorang pelajar universiti diselamatkan selepas jatuh sakit di Gunung Fuji, menurut pengesahan pihak berkuasa Jepun pada Ahad, menjadikannya insiden kedua yang melibatkan individu sama yang diselamatkan dalam seminggu di puncak tertinggi Jepun itu.
Menurut agensi berita Kyodo, pelajar China berusia 27 tahun yang tinggal di Jepun itu ditemukan berhampiran stesen kelapan laluan Fujinomiya, yang terletak lebih 3,000 meter dari aras laut di Wilayah Shizuoka.
Pelajar itu kembali ke gunung untuk mengambil barang peribadi, termasuk telefonnya, selepas operasi menyelamatkannya berhampiran puncak menggunakan helikopter Selasa lepas, menurut polis.
Pihak berkuasa mengesahkan, keadaannya stabil dan nyawanya tidak dalam bahaya.
Polis dimaklumkan oleh seorang pendaki lain sekitar 12.50 tengah hari pada Sabtu mengenai kejadian itu.
Pegawai penyelamat polis gunung Wilayah Shizuoka membawa pelajar itu dengan pengusung dari stesen kelapan ke stesen kelima dan mangsa diserahkan kepada anggota bomba untuk bantuan lanjut.
Dalam pada itu, pihak berkuasa menasihatkan agar orang awam agar tidak mendaki Gunung Fuji di luar musim pendakian rasmi, yang biasanya berlangsung dari awal Julai hingga awal September. – Bernama