am@hmetro.com.my
Klang: Pekerja warga asing maut selepas tersepit dalam mesin ‘blow moulding’ ketika menjalankan kerja pembersihan di sebuah kilang di Pelabuhan Klang, di sini, semalam.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor dalam kenyataan berkata, kejadian berlaku jam 7.35 pagi dan pihaknya mengarahkan pegawai penyiasat menjalankan siasatan di tempat kejadian pada hari sama.
“Siasatan awal mendapati mangsa adalah pekerja baharu dan ditugaskan untuk kerja pembersihan di bahagian pengeluaran kilang.
“Ketika kejadian, pekerja itu cuba mengeluarkan botol plastik yang tersangkut di dalam mesin dengan membuka pintu mesin sebelum komponen mesin bergerak lalu menghimpit kepalanya.
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu berkata, JKKP mengeluarkan Surat Arahan Larangan Kacau Ganggu tempat kejadian sehingga siasatan selesai.
Menurutnya, pada masa sama, dua notis larangan turut dikeluarkan atas kegagalan pihak majikan menyediakan prosedur kerja bagi kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan mesin.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca-punca dan pihak yang bertanggungjawab ke atas kemalangan terbabit.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd