am@hmetro.com.my
Kuantan: Pekerja ladang dikhuatiri lemas ketika mencari kupang di muara Sungai Balok, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa, Leong Wai Seng, 57, dari Kuala Kangsar, Perak pada 6.45 petang.
Menurutnya, berdasarkan laporan, mangsa tiba di muara sungai itu bersama lima individu lain termasuk majikan pada 6 petang.
“Majikan yang juga pengadu bersama tiga anaknya, seorang rakan warga Indonesia dan mangsa tiba untuk beriadah sebelum mangsa turun ke muara sungai seorang diri untuk mencari kupang.
“Selepas 15 minit, pengadu mencari mangsa tetapi gagal ditemui dan menyangka mangsa menyeberang ke tebing sungai bertentangan bagi tujuan membuang air besar.
“Pada 6.30 petang, pengadu membuat laporan di Balai Polis Beserah atas nasihat penduduk selepas tidak menemukan mangsa,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan laporan itu, pihaknya ke lokasi kejadian dan mendapati usaha mencari mangsa dijalankan menggunakan dua bot nelayan.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan membabitkan pelbagai agensi menyelamat. Operasi pencarian disambung semula pada 8 pagi ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd