Pejuang tetap didaftar: Dr. Mahathir

Dr Mahathir bin Muhammad

Shah Alam: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mempunyai rancangan lain bagi memastikan parti itu tetap dapat berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
Bagaimanapun, Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad enggan mendedahkan sebarang pelan tersebut.

“Kita mempunyai pelan B dan C tapi saya tidak mahu dedahkan,” katanya ringkas dalam satu program bicara ‘Bersama Tun M’ di Karangkraf Sinar Harian di sini hari ini.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyatakan permohonan Pejuang dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) ditolak kerana permohonan tersebut tidak teratur selaras dengan peruntukan Jadual 1 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335).

Menurut Bekas Perdana Menteri itu lagi, usianya yang sudah lanjut bukan penghalang untuk terus menyumbang kepada negara meskipun kini berdiri tanpa parti.
“Kalau tarik diri dan tidak suarakan pendapat, saya berpendapat, masa depan orang Melayu amat gelap.

“Walaupun dah berumur 95 tahun, saya masih berminat untuk jalankan tugas yang saya sendiri serahkan kepada saya. Tidak ada siapa suruh pun,” jelasnya.
Pada masa sama, Dr. Mahathir menyifatkan kerajaan tidak sepatutnya mengisytihar proklamasi darurat sebagai salah satu langkah untuk menangani pandemik Covid-19.

“Peruntukan kuasa serta undang-undang di dalam Perlembagaan Persekutuan sudah cukup bagi kerajaan mengambil apa sahaja tindakan bagi membasmi pandemik itu.
“Saya tidak nampak (kerajaan) perlu ada kuasa lebih seperti yang telah diperuntukkan. Kalau dikaji semua tindakan yang dibuat kerajaan, kita boleh lihat semuanya mengikut undang-undang,” katanya. -UTUSAN

Malay News
National Desk

Scroll to Top