Peguam harap ada perkembangan kes Faisal Halim

Peguam harap ada perkembangan kes Faisal Halim

Pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim (tengah) membuat kemunculan kali pertama pada sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC hari ini, selepas menjadi mangsa simbahan asid pada 5 Mei lalu. Foto Bernama

PEGUAM yang mewakili Faisal Halim, Mohd Haijan Omar mengharapkan agar pihak polis dapat memberikan perkembangan terkini mengenai kes simbah asid pemain Selangor FC itu selepas sebulan insiden berlaku.

Menurut Mohd Haijan, pihaknya akan menghantar surat rasmi kepada pihak polis dan menegaskan Faisal berhak untuk mengetahui perkembangan kes tersebut.

“Kami akan merangka (beberapa rancangan) bagi mendapatkan perkembangan lanjut berhubung kes ini.

“Kes ini sudah sebulan berlaku dan pengadu (Faisal Halim) berhak mengetahui perkembangan kesnya,” katanya dalam sidang akhbar pada Khamis.

Pada pertengahan bulan lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husin memaklumkan polis menyiasat kes jenayah membabitkan Faisal daripada pelbagai aspek.

Bagaimanapun, Mohd Haijan menghormati siasatan yang dilakukan oleh pihak polis dan memberi ruang kepada pihak itu menyiasat kes tersebut.

“Kami mempunyai keyakinan penuh polis sedang melakukan siasatan dengan terbaik.

“Saya percaya polis boleh mengheret pelaku pada masa sama kami akan membantu beri kerjasama kepada polis,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!