am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Kegiatan sumbang seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dengan seorang lelaki terbongkar selepas bapanya yang juga pegawai polis menjumpai video tidak senonoh di dalam telefon pintar anaknya.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, bapa remaja perempuan itu terkejut melihat video berkenaan dan tampil membuat laporan polis baru-baru ini.
Katanya, bapa remaja itu terdetik untuk membuka telefon pintar anaknya selepas pendedahan beliau mengenai peningkatan jenayah seksual di Kelantan.
“Pemeriksaan di dalam telefon menjumpai video perlakuan seksual anak perempuannya bersama seorang remaja lelaki.
“Selepas pendedahan itu (kes rogol) pada minggu lalu, pegawai polis itu terus membuat semakan di dalam telefon anaknya.
“Dia terkejut selepas melihat video hubungan (perlakuan seksual) anak perempuannya dengan seorang lelaki. Pegawai polis itu terus membuat laporan berhubung kejadian itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sambutan Hari Raya Aidilfitri Konsortium E-Mutiara Berhad di sini, hari ini. Turut hadir, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan dan Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Bhd (E-Mutiara), Che Ibrahim Che Ismail.
Mohd Yusoff berkata, pendedahan yang dibuat oleh beliau dapat memberi kesedaran kepada ramai pihak termasuk ibu bapa, remaja, dan masyarakat supaya tampil membuat laporan polis sekiranya mendapati ada berlaku kejadian rogol atau perlakuan seksual.
“Selepas pendedahan itu, lebih ramai mangsa tampil membuat laporan polis,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd