Pegawai polis pantau PRK Ayer Kuning maut kemalangan

Pegawai polis pantau PRK Ayer Kuning maut kemalangan

TAPAH: Seorang pegawai polis maut dalam nahas membabitkan motosikal yang ditunggangnya dan sebuah lori di Kilometer (KM) 67 Jalan Persekutuan Ipoh – Kuala Lumpur di sini kira-kira pukul 10.15 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Johari Yahya berkata, kemalangan berlaku apabila mangsa, Ahmad Firdaus Othman,  42,  yang menunggang motosikal Honda RSX dalam perjalanan ke pekan Tapah telah terlanggar sebuah lori jenis Isuzu membawa muatan surat khabar.

“Siasatan awal mendapati, pemandu lori yang berumur 26 tahun secara tiba-tiba keluar dari persimpangan rumah awam menyebabkan mangsa tidak dapat mengelak.

“Penunggang motosikal iaitu mangsa berpangkat sarjan bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah telah mengalami kecederaan parah dibahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Tapah,” katanya di sini hari ini.

Katanya, pemandu lori tersebut telah ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Difahamkan, mangsa sedang bertugas bagi memantau proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning. – UTUSAN

Scroll to Top