am@hmetro.com.my
Alor Setar: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menempatkan pegawai untuk melakukan penyamaran bagi membendung salah laku di kalangan peniaga.
Pengarah KPDN Kedah Muhammad Nizam Jamaludin berkata, langkah itu bertujuan untuk memastikan peniaga menaikkan harga sesuka hati serta menyorok barang kawalan ketika musim perayaan.
Menurutnya, pihaknya akan melakukan penyamaran sebelum pemeriksaan dilakukan apabila menerima aduan berkaitan kenaikan harga mendadak atau menyembunyikan barang.
“Justeru, saya memberi amaran tegas kepada peniaga supaya tidak menyorok bekalan terutamanya minyak masak dan barangan lain.
“Kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya didapati ada peniaga yang melakukan kesalahan berkenaan.
“Pegawai KPDN Kedah sentiasa ada di mana-mana, oleh itu jangan ada peniaga yang melakukan kesalahan walaupun ketika bukan musim perayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu melakukan pemantauan Skim Harga Maksimun Musim perayaan (SHMMP) 2024 sempena Krismas di Pasaraya Mydin, Taman Saga, di sini, hari ini.
SHMMP 2024 bermula lima hari bermula hari ini sehingga 27 Disember ini.
Ia membabitkan sembilan barangan iaitu daging kambing biri-biri bertulang import, kubis bulat import, lobak merah, tomato, cili merah, lada benggala hijau, bawang merah besar import, bawang kuning besar import dan kentang import (China).
Katanya, lebih 180 pegawai penguat kuasa akan ditugaskan di lokasi seperti pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah untuk melakukan pemeriksaan.
Sementara itu, KPDN Kedah turut mengadakan Jualan Rahmah Madani membabitkan 35 item barangan keperluan asas di Pasaraya Mydin.
Ia seperti beras putih, tepung gandum, kentang, bawang putih, bawang merah, mi kuning, minyak masak, serbuk kari, biskut, roti, ayam, telur ayam, kicap, sos cili, sabun cuci baju dan pinggang.
© New Straits Times Press (M) Bhd