harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang gagal melaporkan diri selepas ditukarkan susulan dakwaan isu integriti akan dikenakan tindakan tatatertib.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tindakan tanpa kompromi akan diambil ke atas pegawai yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor berkenaan.
“JIM akan ambil tindakan tatatertib ke atas pegawai berkenaan, kertas siasatan telah dibuka sejak kes berkenaan terbongkar dan siasatan tatatertib juga dibuka.
“Ia susulan kegagalan pegawai berkenaan untuk melapor diri selepas arahan pertukaran dikeluarkan,” katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, pihak JIM mengesahkan menyiasat salah seorang pegawainya berhubung penemuan 12 keping pasport antarabangsa pada dirinya, bulan lalu.
Zakaria dilapor berkata, kertas siasatan integriti sudah dibuka dan pegawai terbabit sudah ditukar ke Depoh Tahanan JIM KLIA namun sehingga kini gagal melaporkan diri.
Laporan polis sudah dibuat pada 7 Januari dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai tindakan jabatan.
Proses siasatan integriti masih dilaksanakan secara dalaman oleh Bahagian Integriti JIM KLIA.
© New Straits Times Press (M) Bhd